X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

GPS menang majoriti mudah, bentuk kerajaan negeri: SPR

Abdul Ghani pada sidang media mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada Sabtu - Foto Bernama
A
A

KUCHING - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 45 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditawarkan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 setakat 8.45 malam ini.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, dengan keputusan itu, GPS berjaya memperoleh majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertanding atau majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini malam Sabtu. GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Antara kerusi dimenangi GPS ialah DUN Gedong yang ditandingi Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kawasan ditandingi kedua-dua Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas masing-masing di Bukit Sari dan Bukit Saban.

Selain itu, DUN Batu Kawah yang ditandingi Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Tanjung Datu (Azizul Annuar Adenan) dan Krian (Friday Belik).

PRN Sarawak kali ini menyaksikan 13 pertandingan tiga penjuru, 33 empat penjuru, 24 lima penjuru, tujuh pertembungan enam penjuru, satu persaingan lapan penjuru dan empat satu lawan satu.

GPS meletakkan 82 calon diikuti Parti Bumi Kenyalang (PBK) (73), Parti Sarawak Bersatu (PSB) (70), PKR (28), DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (15), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) (11), Parti Amanah Negara (Amanah) (lapan), Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) (lima) dan PAS (1). Sebanyak 30 calon Bebas turut bertanding pada PRN ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!