'Setuju Ismail Sabri dicalon semula sebagai PM selepas PRU15'

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUANTAN - UMNO Bahagian Lipis bersetuju sekiranya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicalonkan semula sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.

Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Ismail Sabri yang merupakan Naib Presiden UMNO juga perlu diberi peluang memimpin dan mentadbir negara sehingga habis penggal.

"Kerana apa? Kerana kita perlu buktikan kepada rakyat bahawa tiada pemimpin daripada parti lain yang boleh mentadbir dengan baik selain daripada parti UMNO dan Barisan Nasional (BN), kita perlu berikan sokongan padu kepada Perdana Menteri (Ismail Sabri).

"Tiada sebab kita perlu adakan PRU lebih awal, sedangkan kita perlukan lebih masa untuk beri keyakinan kepada rakyat, kita perlukan lebih masa kerana Bajet 2022 baharu sahaja diluluskan dan ia perlu ditunjukkan dan dibuktikan keterampilannya kepada rakyat.

"Disebabkan itulah kita perlu menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri sehingga selesai penggal atau sehingga PRU15, malahan bersetuju jika dicalonkan semula sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 nanti," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lipis di Wisma UMNO Lipis dekat sini pada Sabtu.

Sementara itu, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis menyeru supaya UMNO mendekati golongan muda melalui platform antara lain media sosial seperti aplikasi TikTok.

Menurutnya, undi 18 menjadi penentu pada PRU akan datang dan sekiranya ahli UMNO tidak memberi perhatian serius, tidak mustahil sekali lagi parti berkenaan akan dilanda badai dan tumbang dalam PRU itu kelak.

"Kita perlu dekati mereka, perlu curi dan tambat hati mereka. Kita dekati mereka bukan sahaja melalui sentuhan fizikal tetapi kita gunakan media sosial sebagai salah satu langkah untuk memahami golongan ini. Disebabkan inilah kita perlu seiring dengan pemikiran anak muda, tetapi ada aturannya agar ia tidak terpesong daripada matlamat asal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Abdul Rahman, proses demokrasi melalui Pilihan Raya Negeri yang sedang berlangsung di Sarawak hari ini juga penentu kepada landskap politik negara dan penerimaan rakyat terhadap BN.

Katanya, kemenangan di Melaka membuktikan bahawa rakyat sudah mula menyambut baik BN namun parti itu tidak boleh berada di zon selesa dan mesti berusaha lebih bagi menghadapi PRU akan datang.

"Baru-baru ini kita telah selesai menghadapi PRN Melaka. Alhamdulillah, kita telah dapat membentuk kerajaan BN di Melaka. Marilah kita bersedia dan mula bergerak untuk menghadapi peperangan besar dalam PRU15 yang akan datang," katanya. - Bernama