13 kes pecah cermin kereta selesai, pembantu jurujual ditahan

Antara barangan kes yang dirampas. - Foto ihsan IPD Port Dickson
Antara barangan kes yang dirampas. - Foto ihsan IPD Port Dickson
A
A
A

PORT DICKSON - Polis berjaya menyelesaikan 13 kes pecah cermin kereta di kuil di sekitar daerah ini dengan tertangkapnya seorang lelaki yang dipercayai merupakan suspek kes berkenaan pada Isnin lepas di Seremban.

Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek berusia 39 tahun itu bekerja sebagai pembantu jurujual kedai makan di Seremban.

"Bertindak atas risikan dan maklumat, pada Isnin lepas jam 2.30 petang, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah menangkap seorang lelaki di tepi Jalan Tuanku Antah, Rahang, Seremban yang baru keluar dari sebuah kedai pajak gadai.

"Pasukan serbuan telah membuat pemeriksaan ke atas suspek dan kenderaan yang dinaiki telah menjumpai peralatan yang digunakan untuk memecah cermin kereta, surat pajak gadai, telefon bimbit dan barang kemas," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Ujarnya, pasukan serbuan juga turut membuat rampasan susulan di kedai pajak gadai di sekitar Seremban dan Senawang serta rumah suspek selain merampas barang kemas yang telah digadai, telefon bimbit, surat pajak gadai dan komputer riba.

"Suspek mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah lampau jenayah iaitu curi dan samun. Hasil ujian saringan air kencing negatif, suspek kini direman di lokap Balai Polis Port Dickson untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurut Aidi Sham, pada hari sama lebih kurang jam 10 pagi, suspek telah memecahkan cermin kereta yang diletakkan di hadapan sebuah Dewan Badminton Bandar Port Dickson.

Pemilik kereta itu jelas beliau, seorang juruteknik lelaki berusia 54 tahun.

Artikel Berkaitan:

Lelaki itu katanya, meletakkan kenderaannya di situ untuk sembahyang di Kuil Maha Mariamman Temple, Port Dickson.

Setelah selesai sembahyang, mangsa mendapati cermin keretanya telah pecah dan ada barang yang hilang.

"Hasil penangkapan suspek, pihak polis IPD Port Dickson telah berjaya menyelesaikan 13 kes pecah cermin kereta di kuil kawasan Springhill, Lukut, Bukit Palong, Ladang Salak, Bunga Raya dan Jalan Lama.

''Jumlah kerugian keseluruhan adalah sebanyak RM20,500 yang melibatkan barang kemas, telefon bimbit dan dokumen peribadi,'' ujar beliau.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Sekyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

''Bagi kesalahan kali kedua boleh dihukum penjara dan juga dikenakan denda dan sebat,'' katanya.