Abang Johari lawat pengundi di pusat mengundi DUN Gedong

Abang Johari (tiga dari kiri) dan Naroden (kiri) bergambar bersama-sama pengundi di pekarangan pusat mengundi SK Abang Kadir Gedong, pada Khamis.
Abang Johari (tiga dari kiri) dan Naroden (kiri) bergambar bersama-sama pengundi di pekarangan pusat mengundi SK Abang Kadir Gedong, pada Khamis.
A
A
A

GEDONG - Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sempat meninjau pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Kadir Gedong, pada Sabtu.

Kehadiran Abang Johari yang juga Pengerusi GPS sekitar jam 11.08 pagi itu menerima sambutan ramai oleh warga yang berada di kawasan pusat pengundian tersebut.

Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sempat beramah mesra dan bergambar bersama pengundi di pekarangan SK Abang Kadir.

Abang Johari sebelum itu menunaikan tanggungjawabnya membuang undi di Kompleks Sukan Satok diiringi isterinya Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang sekitar jam 10 pagi.

Turut hadir mengiringi beliau bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Datuk Mohd Narodeen Majais.

Abang Johari sebelum ini merupakan penyandang bagi kerusi DUN Satok selama sembilan penggal sebelum mengumumkan untuk bertanding di DUN Gedong pada PRN Sarawak kali ini.

Bagi kerusi itu, Abang Johari ditentang tiga calon iaitu Tomson Ango daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK), Kamal Bujang daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan Mohamad Sofian Fariz Sharbin daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Artikel Berkaitan: