PRU15: Jangan awal, jangan lewat

Saarani berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong 2021 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini pada Sabtu.
Saarani berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong 2021 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini pada Sabtu.
A
A
A

LENGGONG - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak boleh diadakan terlalu awal bagi memberi ruang kepada kerajaan mengurus krisis Covid-19 yang masih menghimpit kehidupan dan ekonomi rakyat.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya berpandangan PRU15 itu juga tidak boleh diadakan terlalu lewat kerana ia akan merencatkan momentum parti yang berada di tahap positif serta mengambil kira situasi politik semasa.

"Jika pucuk pimpinan kekal dengan keputusan untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga selepas pilihan raya, maka ucapan saya ini boleh dianggap paluan gendang untuk kita mara memasuki medan PRU15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

"Kita serahkan kepada pucuk pimpinan termasuk Perdana Menteri untuk membuat keputusan tarikh pilihan raya, namun kita berpandangan bahawa pilihan raya tidak boleh diadakan terlalu awal tetapi tidak juga terlalu lewat," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong 2021 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini pada Sabtu.

Menurutnya, ahli UMNO perlu buktikan kesetiaan kepada parti untuk bertempur pada pilihan raya kelak.

"Apapun keputusan pucuk pimpinan, kita mesti sudah persiapkan parti dengan segala kekuatan yang padu dan ampuh. Ini bukan masanya untuk memikirkan soal pemilihan parti. Ini bukan masanya untuk memikirkan soal imbuhan dan jawatan.

"Semua itu tidak ada apa-apa makna jika kita tewas dalam pilihan raya. Buktikan dahulu kesetiaan kita kepada parti, kesetiaan kita akan diuji pada sebelum, ketika pilihan raya dan selepas pilihan raya," katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Lenggong berkata, proses pemilihan parti yang dilakukan pada saat-saat genting dilihat cukup berisiko.

Artikel Berkaitan:

"Misalnya, ramai pemimpin muda akan tamat tempoh usia dalam Pemuda dan Puteri. Kita sudah melatih dan mempersiapkan jentera PRU sejak sekian lama.

"Pertukaran pemimpin di semua peringkat tentunya akan melibatkan rombakan jentera. Rombakan jentera tentunya menjejaskan persiapan termasuklah susunan strategi kita dalam mendekati pengundi-pengundi muda," katanya.

Pada masa sama, Saarani berkata, UMNO tidak pernah melanggar piagam Muafakat Nasional (MN) yang telah dimeterai dan keputusan UMNO menolak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak wajar dianggap sebagai melanggar piagam tersebut.

"Sejak awal lagi MN dibentuk untuk menentang kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai oleh Bersatu dan perlu diingat bahawa penubuhan Bersatu itu sendiri adalah bermatlamat untuk membunuh UMNO.

"Keputusan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu adalah ketetapan yang dibuat oleh perwakilan UMNO lalu.

"Mengambil pengalaman siri pengkhianatan selepas PRU lalu dan pelbagai tipu muslihat termasuk apa yang berlaku pada PRN Sabah sebelum ini, UMNO perlu cermat dalam menyusun langkah politik. UMNO perlu memilih rakan politik yang mengukuhkan, bukan melemahkan," katanya.

Jelas beliau, UMNO tidak sesekali menolak perpaduan, tetapi tidak dapat bekerjasama dengan rakan politik yang secara terang-terang menjadi perancang kepada usaha memecah dan mengucar-ngacirkan parti.