UMNO Masjid Tanah lulus usul tangguh pemilihan parti

Ab Rauf berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Kampung Pulau, Alor Gajah pada Sabtu.
Ab Rauf berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Kampung Pulau, Alor Gajah pada Sabtu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah sebulat suara meluluskan usul supaya pemilihan parti ditangguhkan sehingga selesai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, usul itu diluluskan oleh kesemua 422 perwakilan yang hadir.

Beliau berkata, usul berkenaan akan diserahkan kepada Ibu Pejabat UMNO untuk diperhalusi dan dibincangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Januari depan.

Menurutnya, UMNO Bahagian Masjid Tanah juga akan membuat persediaan menghadapi PRU15 dengan melakukan kajian berdasarkan prestasi parti sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November lalu.

"Dalam mesyuarat kali ini juga, Wanita UMNO Bahagian Masjid Tanah memohon supaya 30 peratus peranan wanita dalam tadbir urus negeri. Kita sedang melihat dan mengkaji permohonan itu," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Villa D'Acqua, Kampung Pulau di sini pada Sabtu.

Hadir sama ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Dalam ucapan ketika merasmikan mesyuarat itu, Ab Rauf mengingatkan Perwakilan UMNO bahagian itu supaya tidak terleka dengan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka lalu.

Menurutnya, biarpun menang dua pertiga kerusi, namun semua jentera perlu bersedia menghadapi cabaran mendatang terutama menjelang PRU15 dan menentukan kerajaan yang akan mentadbir Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga sedang merencanakan dan merancang satu gerak kerja untuk mendekati 16,000 pengundi muda supaya dapat bersama-sama aliran dan arus perdana politik semasa di Melaka," ujar beliau.

Dalam pada itu, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung berkata, UMNO Bahagian Masjid Tanah tidak membawa usul menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pada mesyuarat kali ini.

Bagaimanapun, katanya, secara prinsip UMNO Bahagian Masjid Tanah menyokong Ismail Sabri yang diberikan kepercayaan oleh parti memegang jawatan Perdana Menteri.

"Selagi UMNO diberi urus tadbir negara, kita akan memberi sokongan kepada mereka terutama Perdana Menteri untuk meneruskan perkhidmatan sehingga waktu dan tarikh yang diputuskan parti pada PRU akan datang," kata beliau.