X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Mangsa banjir di Terengganu meningkat

Keadaan kediaman penduduk yang dinaiki air di Kampung Pasir Raja, Dungun pada Sabtu.
A
A

KUALA TERENGGANU - Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 223 orang daripada 68 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Dungun dan Kemaman.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dalam satu kenyataan berkata, kesemua mangsa ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Serbaguna Kampung Shukur di Dungun serta sebuah lagi PPS di Dewan Sivik Air Putih, Kemaman.

Menurutnya, PPS terbaharu di Dewan Serbaguna Kampung Shukur di Dungun mula diaktifkan pada jam 8.30 pagi Sabtu dan kini menempatkan 35 mangsa daripada 15 keluarga.

Dua lagi PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Sivik Air Putih menempatkan 37 serta 151 mangsa banjir.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut memberitahu keadaan semasa cuaca di beberapa tempat di negeri ini masih lagi hujan manakala beberapa lembangan sungai utama menunjukkan trend air menaik.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan sehingga jam 10 pagi stesen sungai Terengganu di Pasir Raja, Dungun melebihi paras bahaya dengan bacaan 38.75 meter (m).

Selain itu, dua stesen bacaan iaitu di Kampung Bukit Setiu dan Kg Keruak, Besut masing-masing berada melebihi paras amaran setinggi 12.16 meter (m) dan 34.24 m.

Enam lagi stesen iaitu di Kampung Tebak, Kemaman; Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu; Kampung Menerong, Hulu Terengganu; Kampung Besut, Setiu; Jambatan Permaisuri, Setiu dan Kampung La di Besut masing-masing melebihi paras waspada.

Berdasarkan maklumat Jabatan Kerja Raya (JKR), Terengganu, Jambatan Lama Teladas di Air Putih, Kemaman ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air pada kedalaman 0.8 meter selain arus deras.

Katanya, orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jambatan Baru Teladas

Sementara itu, dua lagi laluan ditutup kepada kenderaan ringan iaitu di simpang 3 Lubok Lesong - Pelantoh dan Kampung Pelantoh di Kemaman.

Orang ramai dinasihatkan menggunakan laluan alternatif di Jerangau Jabor dan Jalan Air Putih.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!