Harimau Malaya tak boleh leka

Para pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan bagi mengharungi baki saingan Piala Suzuki AFF 2020.
Para pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan bagi mengharungi baki saingan Piala Suzuki AFF 2020.
A
A
A

PEMAIN Harimau Malaya tidak boleh leka di sepanjang 90 minit pada aksi terakhir Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 berdepan Indonesia pada Ahad, jika tidak mahu misi mencatatkan kemenangan bertukar tragedi.

Menurut jurulatih berpengalaman negara, Irfan Bakti Abu Salim, ketika ini kelebihan dilihat berpihak kepada skuad Garuda itu yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan slot ke separuh akhir.

“Bagi saya, skuad negara dilihat masih memiliki peluang untuk mara ke separuh akhir sekiranya berjaya memerangkap lawan bagi mencatatkan kemenangan yang diharap-harapkan.

“Bagaimanapun kena ingat, pasukan Indonesia kali ini berbeza dengan pasukan yang pernah kita tentang sebelum ini tengok sajalah perlawanan mereka dengan Vietnam sehingga berjaya mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan.

“Oleh itu, kita perlu lebih agresif dan jika boleh sebaik wisel permulaan, terus mengasak ke pintu gol mereka dan cuba mendapatkan gol awal yang boleh membantu mengurangkan sedikit tekanan bagi pemain-pemain kita,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Skuad negara dilihat tidak mempunyai pilihan selain menewaskan Indonesia pada aksi di Stadium Nasional Singapura pada Ahad, jika mahu mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir kelak.

Ini ditambah dengan kejayaan skuad kendalian pengendali dari Korea Selatan, Shin Tae-Yong itu, mengikat Vietnam tanpa jaringan Khamis lalu.

Artikel Berkaitan:

Irfan Bakti mengingatkan pemain Harimau Malaya agar tidak mudah leka di sepanjang tempoh 90 minit perlawanan bagi mengelakkan terjerat dengan corak taktikal lawan.
Irfan Bakti mengingatkan pemain Harimau Malaya agar tidak mudah leka di sepanjang tempoh 90 minit perlawanan bagi mengelakkan terjerat dengan corak taktikal lawan.

Sementara itu, Irfan Bakti mengingatkan pemain Harimau Malaya agar tidak mudah leka di sepanjang tempoh 90 minit perlawanan bagi mengelakkan terjerat dengan corak taktikal lawan.

Katanya, pihak lawan pastinya ternanti-nanti pemain negara melakukan kesilapan sebelum ‘menghukum’ skuad negara akibat melakukan kesilapan-kesilapan berkenaan.

“Harus juga diingatkan, jangan terlalu leka memburu gol sehingga mengabaikan benteng pertahanan hingga terperangkap dengan ‘jerat’ mereka (Indonesia) nanti.

“Bagaimanapun dengan kehadiran pemain pertahanan seperti Dion Cools, diharapkan akan dapat membantu menjentik semangat pemain berdasarkan pengalamannya beraksi di pentas Eropah.

“Apa pun, diharapkan kesemua pemain dapat mengekalkan semangat juang Harimau Malaya sekiranya mahu layak ke separuh akhir kali ini,” katanya.