Calon PBK, PSB hanya untuk cukup 'syarat': Penganalisis

Awang Tengah
Awang Tengah
A
A
A

MIRI - Penyertaan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari dilihat hanya sebagai ‘syarat’ bagi mengelakkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang tanpa bertanding di kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

Kedua-kedua parti itu yang masing-masing meletakkan calon muka baharu, ‘underdog’, yang dijangka sukar untuk menarik sokongan rakyat di Bukit Sari terutama untuk bersaing dengan penyandang yang juga calon GPS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Pencabar Alias Mail (PSB) dan Riyah Basrah (PBK), masing-masing pesara unit beruniform yang pertama kali menjadi calon dilihat sukar untuk menentang Awang Tengah yang mempunyai prestasi cemerlang iaitu menang di DUN itu selama tujuh penggal termasuk DUN Lawas (sebelum dipecahkan kepada DUN Bukit Sari dan DUN Ba’kelalan).

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Sarawak: Pecutan akhir untuk tawan kerusi hangat

Awang Tengah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menang di DUN Lawas (1997-2001) dan Buki Sari (2006-2016) termasuk menang tanpa bertanding pada 1996 dan 2016 dilihat mampu mengekalkan momentum kemenangannya untuk penggal kelapan pada PRN ini.

Penganalisis Sosiopolitik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, PSB dan PBK yang meletakkan calon muka baharu boleh dianggap ‘underdog’, pastinya berdepan cabaran sukar meraih undi rakyat di Bukit Sari yang sudah mengenali Awang Tengah sebagai wakil rakyat di situ selama lebih 20 tahun.

Jelasnya selain mempunyai sokongan akar umbi yang sangat kuat, Awang Tengah sukar untuk ditandingi calon baharu yang belum pernah ada rekod atau sumbangan, sekali gus menyukarkan mereka untuk mendapat tempat di hati pengundi di Bukit Sari.

“Awang Tengah berpengalaman luas sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan menjadi menteri kanan dalam menguruskan pelaburan luar negara dan membawa FDI (pelaburan langsung asing) hingga Sarawak tempat kedua FDI terbesar negara selepas Selangor.

Artikel Berkaitan:

“Langkah PBK dan PBS meletak calon ‘underdog’ dilihat seperti sekadar untuk mengisi kekosongan dan menghalang Awang Tengah menang tanpa bertanding,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun tegasnya, pertembungan tiga penjuru di Bukit Sari adalah persaingan politik yang sihat dan perlu diraikan, malah sangat penting bagi memastikan sistem demokrasi dilaksanakan selain memberi pilihan luas kepada pengundi untuk memilih pemimpin layak sebagai wakil rakyat mereka.

Mengulas lanjut, beliau berkata faktor calon muka lama lawan muka baharu tidak dinafikan akan beri impak besar saingan di Bukit Sari dalam konteks idea, pemikiran, hala tuju dan strategi baharu dalam mentadbir kawasan itu.

“Faktor ini akan menjadi pertimbangan pengundi, bukan sahaja kepada calon muka baharu akan tetapi ada juga pada muka lama lebih-lebih kalangan pemimpin berpengalaman luas dalam politik. Namun, berdasarkan kajian lapangan kami di Bukit Sari, kita melihat (meramalkan) keputusan akan memihak kepada Awang Tengah,” katanya.

Menerusi kajian rentas universiti UMCEDEL bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta sebuah media tempatan pada 20-27 Nov (fasa satu) dan 8-14 Disember (fasa dua) lepas melibatkan 4,500 responden seluruh Sarawak, ia antara lain mendapati secara keseluruhan rakyat Sarawak berpuas hati terhadap pengurusan negara oleh kerajaan Persekutuan dan pengurusan negeri di bawah kerajaan GPS.

PRN kali ini menyaksikan Awang Tengah bersaing dengan Alias yang merupakan pesara pegawai penguatkuasa Kastam dan Riyah seorang pesara tentera. Pada PRN 2016 Awang Tengah menang tanpa bertanding.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pada PRN ini DUN Bukit Sari secara keseluruhan mempunyai seramai 12,935 pengundi berdaftar yang akan menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi Sabtu (18 Disember) ini. - Bernama


Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my