4 kanak-kanak maut, 5 cedera terjatuh dari belon istana

Pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian di Sekolah Rendah Hillcrest di Devonport, Tasmania, Australia. - Foto EPA-EFE/Grant Wells
Pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian di Sekolah Rendah Hillcrest di Devonport, Tasmania, Australia. - Foto EPA-EFE/Grant Wells
A
A
A

MOSCOW - Empat murid sekolah maut dan lima lagi cedera di negeri Tasmania, Australia apabila tiupan angin kencang mengangkat sebuah trampolin berbentuk istana ke udara sehingga kanak-kanak di atasnya terpelanting, lapor Sputnik memetik laporan media pada Khamis.

Menurut penyiar 7News, kemalangan berlaku di negeri pulau itu semasa sambutan akhir tahun persekolahan di Sekolah Rendah Hillcrest di bandar Devonport.

Angin kencang yang tiba-tiba bertiup dilaporkan menyebabkan belon istana itu terangkat ke udara beberapa meter dan terkoyak.

Kesemua mangsa, dua lelaki dan dua perempuan adalah murid tahun enam, lapor media.

Lima daripada kanak-kanak yang cedera dibawa ke hospital. Empat daripadanya berada dalam keadaan kritikal.

"Pada hari ketika kanak-kanak ini sepatutnya meraikan hari terakhir mereka di sekolah rendah, kita semua sebaliknya meratapi kehilangan mereka. Kami turut bersedih dengan kehilangan yang dialami keluarga, rakan-rakan, guru-guru dan komuniti sekolah mereka,” kata Pesuruhjaya Polis, Darren Hine, seperti dipetik 7News.

Bilangan kanak-kanak yang bermain di atas belon istana itu ketika tragedi tidak didedahkan.

Perdana Menteri, Scott Morrison mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia dan cedera.

Artikel Berkaitan:

Sokongan dan kaunseling ditawarkan kepada komuniti sekolah dan kepada ibu bapa kanak-kanak terbabit, kata penyiar berkenaan.

Mahkamah Koroner Tasmania dan pengawal selia kerja, kesihatan dan keselamatan pulau itu melancarkan siasatan ke atas kemalangan itu. - Bernama