Pencemaran bau diesel: LRA Semenyih kembali operasi

Amirudin memuat naik status di Twitter pada Khamis.
Amirudin memuat naik status di Twitter pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih yang dihenti tugas akibat pencemaran bau diesel di Sungai Semenyih kembali beroperasi semula selepas mencatat bacaan 0 ton pada Khamis.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, LRA itu kembali beroperasi pada jam 12.30 tengah hari selepas mencatat bacaan tiga ton.

Menurutnya, gangguan itu hanya mengambil masa selama empat jam untuk pulih.

"Gangguan minimum segera pulih secara berperingkat. Terima kasih (Pengurusan) Air Selangor (Sdn Bhd) tangani hal ini secara pantas (hanya) ambil masa kurang empat jam untuk selesai," katanya yang memuat naik kenyataan menerusi Twitter pada Khamis.

Air Selangor sebelum ini memaklumkan henti tugas LRA Sungai Semenyih berikutan pencemaran bau diesel yang dikesan di Sungai Semenyih.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang bekerjasama dengan Air Selangor bagi mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai sekitar.

Berikutan henti tugas LRA Sungai Semenyih itu, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) dijangka mengalami gangguan air.

-end-

Artikel Berkaitan: