Tujuh PATI gagal seludup masuk ke Malaysia

Tujuh PATI berusia antara 17 hingga 39 tahun ditahan di laluan balak, sektor Op Benteng, kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia pada Rabu.
Tujuh PATI berusia antara 17 hingga 39 tahun ditahan di laluan balak, sektor Op Benteng, kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia pada Rabu.
A
A
A

PADANG TERAP - Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) berjaya mematahkan cubaan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar menyeludup masuk ke Malaysia di sempadan Malaysia-Thailand di sini pada Rabu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia, kesemua PATI berkenaan ditahan kira-kira jam 1.25 petang di laluan balak, sektor Op Benteng, kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

Katanya, ketika kejadian, sub unit yang melakukan rondaan di laluan balak sempadan Malaysia-Thailand bertembung dengan tujuh orang awam yang sedang berjalan di laluan denai bukit.

"Kumpulan berkenaan yang terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan kemudiannya ditahan untuk pemeriksaan dokumen pengenalan diri," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak memiliki kad pengenalan Malaysia dan disyaki sebagai PATI.

"Kesemua mereka yang berusia antara 17 hingga 39 tahun seterusnya ditahan dan dibawa ke Kem Sahara untuk siasatan lanjut.

"Kami turut membuat rampasan bernilai RM3,200 yang terdiri daripada telefon bimbit, barang kemas, serta mata wang Malaysia, Myanmar dan Thailand," katanya.

Menurutnya, kesemua PATI berkenaan seterusnya dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan: