Dunia glamor tak seindah yang disangka

Pelakon, Shawal Osman. Foto: SYAFFIQ IZHAM
Pelakon, Shawal Osman. Foto: SYAFFIQ IZHAM
A
A
A

BUKAN semua pendatang baharu mempunyai nasib yang baik. Ada yang mengambil masa bertahun-tahun baru berjaya menempa nama di gelanggang hiburan.

Bagi jejaka tinggi lampai ini, dia juga sebenarnya sudah lama bertapak di lapangan seni dan hiburan tempatan, cuma entah di mana silap percaturan Shawal Osman, 28, masih belum cukup dikenali.

Kembara seni Shawal bermula sebagai model kemudian terjun ke dunia lakonan.

Saban tahun berkecimpung sebagai pelakon daripada ekstra, pembantu dan utama, namun tiada impak. Lantas, tidak betah dia mencuba pula mempertaruhkan bakat sebagai penyanyi dan kini muncul dengan single pertama berjudul Pencinta, ciptaannya dan lirik bersama Danial Azim.

No Image Caption

“Dari dunia peragaan saya mencuba nasib dengan berlakon, namun bila sudah bekerja dengan makan gaji masa agak terhad untuk mencari ruang dan peluang meneruskan minat berkenaan.

“Begitu pun, sebagai alternatif untuk terus mengekalkan nama di persada seni ini saya tampil sebagai penyanyi. Kira-kira akhir tahun lalu saya sudah ada debut dan kini dalam proses menyiapkan single kedua berentak balada,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Imbas zaman susah

Artikel Berkaitan:

Mengimbau perit jerih sebelum bergelar pelakon dan penyanyi, Shawal berkata, pernah tidur beralaskan kotak dan kain langsir serta baju-baju lama di dalam stor baju kawan.

“Masa tiba di ibu kota saya masih belum ada wang yang cukup untuk menyewa. Jadi saya hanya menumpang buat sementara waktu di kedai kawan.

“Agak lama juga sebelum saya betul-betul mampu menyewa bilik di ibu kota ini. Maklumlah saya bukannya berasal daripada keluarga yang senang,” katanya.

No Image Caption

Mengakui dunia glamor tidak seindah yang disangkakan, demi meneruskan kelangsungan hidup Shawal berikhtiar mencari pekerjaan tetap sementelah perlahan-lahan mencari tapak dalam industri hiburan.

“Alhamdulillah tahun lalu saya dapat kerja sebagai pegawai audit dalaman di restoran makanan segera A&W.

“Namun baru-baru ini saya sudah dipindahkan ke jabatan dan jawatan baharu sebagai pegawai pelatih.

“Biarpun jadual kerja adakalanya padat, namun pada hujung minggu jika ada kelapangan waktu saya akan memenuhi undangan nyanyian majlis tertutup,” ujar Shawal profesional.