PATI tak sempat bersiar, dicekup PPM

Antara PATI yang ditahan.
Antara PATI yang ditahan.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Pasukan Polis Marin (PPM) memberkas pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan berasingan di Laut Sungai Agas dan Jeti Penumpang Southpoint, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, tangkapan pertama kira-kira jam 11.30 pagi dibuat menerusi Ops Pensura selepas melihat sebuah feri penumpang dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan di feri yang dalam perjalanan dari Pulau Ketam ke Jeti Penumpang Southpoint itu kemudian telah menahan dua lelaki warga Indonesia berusia 23 tahun.

"Semakan juga mendapati warga asing ini tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain tinggal lebih masa di dalam negara," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Susulan itu, dua lagi lelaki warga Bangladesh berusia 35 dan 43 tahun turut ditahan di Jeti Penumpang Southpoint kira-kira satu jam kemudian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati PATI ini dipercayai dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang untuk bersiar-siar.

Katanya, soal siasat juga dapati PATI ini berada di Malaysia dengan bekerja sebagai jurukimpal, nelayan dan pekerja pendawaian.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel Berkaitan: