Askar Syria maut akibat serangan Israel

Tentera Israel melancarkan serangan peluru berpandu ke Syria dari Bukit Golan yang dijajahnya. - Foto AFP
Tentera Israel melancarkan serangan peluru berpandu ke Syria dari Bukit Golan yang dijajahnya. - Foto AFP
A
A
A

DAMSYIK - Seorang askar Syria terbunuh pada Khamis dalam serangan peluru berpandu Israel dari Bukit Golan yang dijajah oleh rejim Zionis, lapor agensi berita SANA.

"Sekitar jam 12.50 pagi, musuh Israel melakukan serangan udara dengan beberapa peluru berpandu dari arah Bukit Golan yang dijajah dan menyasarkan beberapa tempat di bahagian selatan," menurut sumber tentera.

Pasukan pertahanan udara Syria kemudian berjaya menembak jatuh sebahagian besar peluru berpandu tersebut dan sumber berkenaan menyatakan bahawa pencerobohan itu menyebabkan kematian seorang askar dan kerosakan material.

Pada awal Disember, Israel melakukan serangan terhadap satu penghantaran senjata Iran di Pelabuhan Latakia, Syria tanpa melibatkan sebarang kematian.

Dalam pada itu, pada akhir November lalu, tiga askar Syria dan dua rakyat negara tersebut yang bersekutu dengan kumpulan Hizbullah terkorban dalam serangan Israel, menurut Badan Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia.

Sejak perang saudara meletus di Syria pada tahun 2011, Israel telah melakukan ratusan serangan udara di wilayah Syria dengan menyasarkan kedudukan kerajaan di negara itu dan pasukan sekutu Iran serta para pejuang Hizbullah.

Sementara itu, tentera Israel enggan mengulas mengenai serangan peluru berpandu tersebut. - Agensi

Artikel Berkaitan: