Buli jangan sudah terhantuk baru nak terngadah

Kejadian buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar yang dikongsi warganet di media sosial.
Kejadian buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar yang dikongsi warganet di media sosial.
A
A
A

MERAK Jalanan amat terkejut dengan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengadakan kempen penerangan mengenai gejala buli apabila sesi persekolahan bermula Januari depan.

Sepatutnya, kempen penerangan seperti itu dibuat setiap masa dan bukan apabila berlaku kejadian, baru hendak buat kempen. Ia ibarat peribahasa Melayu, sudah terhantuk baru nak terngadah yang membawa erti sesudah mendapat kesusahan, baru hendak beringat-ingat.

Masih segar dalam ingatan kita dengan nasib Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia kerana diseksa menggunakan seterika oleh sekumpulan pelajar universiti berkenaan.

Merak Jalanan juga ingin mengimbas kenangan semasa di sekolah suatu ketika dahulu mengenai seorang sahabat yang menjadi mangsa buli. Perbuatan itu memberikan kesan amat mendalam terhadap dirinya.

Dia bukan sahaja dibuli secara lisan, malah dibuli secara fizikal. Hidup sahabat Merak Jalanan itu seperti tiada haluan dan sering dilihat termenung sendirian.

Semoga dia dapat melupakan titik hitam yang berlaku dan meneruskan kehidupan sama seperti orang lain.

Berbalik kepada usaha kementerian mengadakan kempen penerangan, memang Merak Jalanan sambut baik kerana setiap tahun ribuan pelajar akan melanjutkan pelajaran mereka ke tahap seterusnya terutama bagi pelajar di peringkat sekolah rendah dan memasuki peringkat menengah.

Dan kebiasaannya, masalah buli banyak berlaku dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Golongan berkenaan patut sentiasa diingatkan kesan dan akibat jika mereka melakukan perbuatan buli.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Merak Jalanan amat berharap agar semua pihak memandang serius perkara tersebut. Janganlah sekadar menganggap buli adalah perkara biasa untuk membentuk ketahanan mental serta fizikal pelajar.