Apa jadi litar lumba di Sungai Petani?

Kemudahan litar lumba yang dijanjikan masih belum nampak bayangnya, apatah lagi menjadi kenyataan. - Foto sumber Facebook
Kemudahan litar lumba yang dijanjikan masih belum nampak bayangnya, apatah lagi menjadi kenyataan. - Foto sumber Facebook
A
A
A

KEMUDAHAN litar lumba untuk anak muda Kedah hangat diperkatakan 10 tahun lalu, malah rancangan tersebut turut dimasukkan ke dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Perkara berkenaan diumumkan sendiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir ke Alor Setar, Kedah pada tahun 2013.

Penulis sering melalui kawasan yang dijanjikan dengan pembinaan litar lumba tersebut kerana lokasinya tidak jauh dari perumahan penduduk. Namun, apa yang boleh dilihat hanyalah tapak, laluan litar dan jalan. Selebihnya, ia masih kosong.

Pemandangan pula hanya tertumpu kepada ladang dan pohon-pohon kelapa sawit di kiri dan kanan.

Pada 2014, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan bahawa hasil Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah bersetuju membangunkan kawasan seluas kira-kira 20 hektar di Sungai Petani sebagai litar yang boleh memberi manfaat kepada peminat-peminat sukan permotoran termasuk motocross untuk mempamerkan aksi mereka.

Menurut Mukhriz, kerajaan negeri yakin dengan adanya projek berkenaan yang akan dibangunkan di kawasan perumahan Ambangan Heights, ia bakal menjadi tarikan pelancong di Kedah.

Ia sekali gus dapat memberi peluang kepada anak muda untuk menunjukkan bakat masing-masing dan pada masa yang sama dapat menghindar mereka daripada terlibat dengan gejala mat rempit atau lumba haram.

Bagaimanapun, setelah kerajaan negeri ‘bertukar tangan’ beberapa kali, kemudahan litar lumba yang dijanjikan masih belum nampak bayangnya, apatah lagi menjadi kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini kecoh semula isu pembinaan litar lumba tersebut, yang kononnya tidak mendapat perhatian daripada pihak kerajaan negeri yang kini diterajui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Kecewa

Dakwa Mukhriz, kerajaan Kedah seperti tidak berminat membangunkan litar lumba tersebut walaupun manfaatnya jelas kepada golongan muda setelah pembinaannya masih belum menampakkan hasil.

Beliau yang merupakan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) meluahkan kekecewaannya, selain mendesak agar kerajaan negeri mengotakan janji tersebut susulan kos pembinaan sebanyak RM20 juta telah diluluskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Jelas Mukhriz, siapa pun yang memerintah tidak penting, sebaliknya projek yang telah diluluskan perlu dilaksanakan segera demi rakyat.

Projek berkenaan dikatakan telah pun mendapat khidmat nasihat dan panduan sokongan Sepang International Circuit (SIC) mengikut standard antarabangsa.

Setakat ini, kerajaan negeri masih mengadakan rundingan dengan syarikat terkemuka bagi menjalinkan usaha sama membangunkan projek tersebut.

Perancangan

Difahamkan, Kebenaran Merancang (KM) perlu diubah kerana pada asalnya perancangan dibuat untuk membangunkan litar berkonsepkan rakyat.

Namun, pelan tersebut dinaik taraf kepada standard antarabangsa sehingga menyebabkan kos sebanyak RM30 juta meningkat kepada RM70 juta.

Menurut Muhammad Sanusi, projek itu tertangguh disebabkan kos terlampau tinggi termasuk lantikan perunding yang menelan perbelanjaan hampir RM1 juta.

Sehingga kini, status projek litar lumba di Sungai Petani itu masih belum diketahui.

Anak muda yang mengidam mahu beraksi di litar lumba berkenaan ketika mula-mula dicanangkan dahulu mungkin telah hilang minat akibat terlalu lama menunggu ataupun faktor usia mereka yang sudah bertambah seiring masa dan keadaan.

Mungkin juga anak-anak muda yang berkahwin ketika itu, anak mereka kini sudah berusia 10 tahun tapi litar lumba yang dicanangkan masih sepi.

Rakyat berhak tahu apakah status sebenar projek berkenaan kerana ia adalah antara perancangan yang memerlukan dana besar.

* Siti Zubaidah Zakaraya ialah wartawan Sinar Harian Kedah