Sarawak keluar dari Malaysia propaganda bahaya: Pengerusi PH Sarawak

Chong Chieng Jen -Foto Bernama
Chong Chieng Jen -Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen menemplak agenda yang diperjuangkan Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI).

Menurut beliau, agenda untuk menggesa kemerdekaan atau dengan erti kata lain keluar daripada Malaysia adalah propaganda yang bahaya kerana ia boleh mendatangkan lebih banyak mudarat daripada manfaat terhadap keharmonian dan kestabilan di Sarawak.

Tegasnya lagi, PBK dan ASPIRASI telah menyembunyikan kebenaran dan fakta mengenai negara yang telah merdeka tetapi menghadapi perang saudara yang meragut banyak nyawa dan memusnahkan ekonomi mereka.

“Video pendek propaganda kedua-dua pihak ini memetik beberapa negara yang telah berjaya mencapai kemerdekaan. Namun mereka tidak menekankan apa yang terjadi kepada negara-negara ini, seperti yang terjadi dalam kes Kosovo.

“Sejurus selepas Kosovo mengisytiharkan permulaan gerakan kemerdekaannya, tentera Serbia mula menindas. Lebih 2,000 orang awam mati dan 400,000 menjadi pelarian pada 1998 dan 1999, sehinggalah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) masuk campur menyelesaikan konflik ini.

“Sehingga ke hari ini, Kosovo masih bergantung kepada NATO untuk mempertahankan negara mereka daripada ancaman pencerobohan oleh Serbia,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Ujar calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan itu lagi, beberapa negara besar seperti China, Brazil, Indonesia, India dan lebih separuh daripada negara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih tidak mengiktiraf Kosovo sebagai sebuah negara.

Katanya lagi, gesaan PBK dan ASPIRASI disifatkan sebagai lemah kerana mereka gagal memberikan hujah yang kuat dalam dasar nasional dan antarabangsa termasuk mengenai perihal pentadbiran dan isu pertahanan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya ramai rakyat Sarawak tidak mahu melalui kesengsaraan perang saudara yang boleh mempertaruhkan keselamatan nyawa diri dan keluarga mereka dan boleh menghancurkan ekonomi negeri ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Chieng Jen berkata, pengundi sepatutnya tidak memecahbelahkan undi dalam kalangan parti pembangkang, sebaliknya perlu memberikan sokongan penuh kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) - PH untuk membentuk pembangkang yang lebih kuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.