Long Tiger lolos dari lokap mahkamah

LONG TIGER
LONG TIGER
A
A
A

TANGKAK - Lelaki Rohingya dikenali sebagai Long Tiger melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, Long Tiger atau nama penuhnya, Abdul Hamim Ab Hamid, 32, meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah pada jam 11.55 pagi sebelum perbicaraan bermula.

Menurutnya, suspek telah diambil oleh pihak polis di penjara Sungai Udang, Melaka semalam untuk perbicaraan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

"Prosiding yang sepatutnya bermula pada jam 10 pagi ditangguhkan sementara menunggu kehadiran peguam bela tertuduh.

“Bagaimanapun, beberapa anggota polis yang membawa suspek ke mahkamah menyedari tertuduh sedang cuba melarikan diri apabila melihat dia keluar ke pintu utama mahkamah menuju ke pagar,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di sini pada Rabu.

Mohd Fadhil (tengah) menunjukkan gambar Long Tiger yang kini diburu polis.
Mohd Fadhil (tengah) menunjukkan gambar Long Tiger yang kini diburu polis.

Menurut Mohd Fadhil, empat anggota polis terbabit bersama pengawal keselamatan cuba mengejar suspek, namun dia terus menuju ke semak berdekatan sebelum hilang dan gagal dikesan.

“Jarak suspek dan anggota polis terlampau jauh menyebabkan dia sukar diberkas. Suspek telah melalui kawasan semak berdekatan bersama gari di tangan.

"Oleh demikian kita mohon kerjasama orang ramai yang terlihat suspek atau mempunyai maklumat berhubung lokasi tertuduh untuk segera hubungi pihak polis," katanya.

Beliau berkata, empat anggota polis yang bertanggungjawab mengiringi suspek ke mahkamah juga akan disiasat di bawah Seksyen 233 kerana kecuaian.

Artikel Berkaitan:

"Polis masih menyiasat sama ada kesemua anggota tersebut terlibat dalam kejadian ini atau sebaliknya serta cara tertuduh meloloskan diri dari sel mahkamah," katanya.

Katanya, tertuduh yang masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kini disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana lari dari tahanan.