Lelaki Rohingya terima padah tunjuk isyarat lucah

Beng Yeow
Beng Yeow
A
A
A

KULAI - Tindakan biadab seorang etnik Rohingya menunjukkan isyarat lucah semasa ditegur warga tempatan kerana meletakkan longgokan besi atas jalan raya, membawa padah apabila ditahan polis pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supritenden Tok Beng Yeow berkata, pihaknya mengetahui kejadian tersebut selepas mendapat satu video berdurasi 19 saat memaparkan insiden itu pada jam 8.20 pagi Sabtu.

"Video berkenaan memaparkan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) mengganggu ketenteraman umum. Video berkenaan tular dan mendapat perhatian masyarakat umum.

"Siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku di Lorong 6, Jalan Susur Kulai, Kulai Besar di sini. Suspek lelaki Rohingya itu menunjukkan jari tengah kepada seorang penduduk tempatan kerana marah apabila ditegur meletakkan longgokan besi buruk atas jalan raya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, anggota Team Lejang Balai Polis Kulai menangkap suspek yang berusia 23 tahun di sebuah rumah di Lorong 6, Kulai Besar pada jam 11.30 pagi Sabtu.

Katanya, suspek mengaku merupakan individu dalam video berkenaan dan kejadian berlaku tiga hari lalu sebelum video tersebut tular dalam media sosial.

Tambahnya, suspek akan direman pada Ahad untuk siasatan lanjut, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Habis