Piala Airmarine 2019: FAM nafi harga tiket mahal

Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi
Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan segelintir penyokong skuad Harimau Malaya bahawa harga tiket RM45 sekeping bagi menyaksikan Kejohanan Empat Negara Piala Airmarine 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil dari 20-23 Mac ini adalah mahal.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, kadar berkenaan adalah melibatkan dua perlawanan iaitu aksi Oman dan Afghanistan pada 4.30 petang serta aksi Malaysia dan Singapura pada jam 8.45 malam.

"Pertandingan ini dianjurkan pihak swasta (dengan kerjasama FAM), jadi harga tiket ditentukan pihak Airmarine (Malaysia) Sdn Bhd dan Pro Events International Sdn Bhd yang telah mencapai persetujuan mengenakan harga tiket sedemikian.

"Bagi saya, harga yang dikenakan berbaloi memandangkan pasukan yang menyertai Piala Airmarine berada pada ranking (dunia) lebih baik daripada kita,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan pusat pertama skuad Harimau Malaya di Padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini, semalam.

Beberapa netizen di laman sosial mendakwa harga tiket RM45 bagi tempat duduk utama adalah lebih mahal, jika dibandingkan harga perlawanan persahabatan melibatkan skuad kebangsaan yang berharga RM20 sekeping.

Sejumlah 22 daripada 25 pemain melaporkan diri pada sesi latihan berkenaan kecuali dua pemain Johor Darul Ta’zim, Ahmad Hazwan Bakri dan Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak yang terlibat dengan saingan Liga Juara-Juara Asia menentang kelab Korea Selatan, Gyeongnam FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam semalam

Seorang lagi pemain negara, Matthew Davies pula berada di Australia atas urusan peribadi dan dijangka menyertai rakan sepasukan yang lain pada hari ini.

Sementara itu, pemain naturalisasi Malaysia, Mohamadou Sumareh ingin mengakhiri kemarau golnya apabila betemu Singapura di separuh akhir Piala Airmarine, 20 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

Pemenang perlawanan ini akan bertemu pemenang satu lagi perlawanan separuh akhir antara Oman dan Afganistan di perlawanan akhir pada 23 Mac.

Sementara itu, bagi pemain yang lahir di Gambia itu berkata, beliau berasa berbangga kerana sekali lagi dipanggil Ketua Jurulatih Negara, Tan Cheng Hoe selepas terlibat dalam Piala AFF Suzuki 2018 yang mana Malaysia menduduki tempat kedua selepas tewas kepada Vietnam di perlawanan akhir.

"Sudah agak lama saya tidak menjaringkan gol untuk Malaysia, dan sudah tentu saya mahu menjaringkan gol jika saya diberikan peluang untuk bermain.

"Saya tahu, persaingan untuk kesebelasan utama sukar kerana kesemua 25 pemain yang dipanggil untuk latihan pusat bermain dengan baik di Liga Malaysia, tetapi saya bersedia untuk merebut tempat untuk saya bermain bersama pasukan utama negara,” tambah Sumareh yang bermain untuk Pahang. - Bernama