Sri Pahang FC terima tajaan RM1.13 juta

Mohamed Suffian (dua, kiri) pada Majlis Menandatangani Penajaan Kelengkapan Pakaian Sukan Pasukan Sri Pahang FC bagi Liga Super Musim 2022/2023 di Sri Pahang FC Lounge di Kuantan. FOTO: Sri Pahang FC
Mohamed Suffian (dua, kiri) pada Majlis Menandatangani Penajaan Kelengkapan Pakaian Sukan Pasukan Sri Pahang FC bagi Liga Super Musim 2022/2023 di Sri Pahang FC Lounge di Kuantan. FOTO: Sri Pahang FC
A
A
A

SRI Pahang FC meraih tonik berharga bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan apabila menerima tajaan berupa jersi dan peralatan sukan daripada syarikat milik bumiputera, Hakka Clo Plt dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1.13 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohamed Suffian Awang berkata, perjanjian penajaan melibatkan musim 2022 serta 2023 itu diharap akan menyuntik semangat barisan pemain Sri Pahang FC bagi menampilkan aksi terbaik dalam kempen liga tersebut.

"Kita sangat berbesar hati dan bangga kerana Hakka Clo Plt diterajui anak jati Pahang. Kita berharap Sri Pahang FC dapat mempamerkan prestasi lebih baik pada musim depan dan pada masa sama meningkatkan imej Hakka Clo Plt sebagai syarikat pembekal peralatan sukan berkualiti di Malaysia," katanya.

Mohamed Suffian berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Penajaan Kelengkapan Pakaian Sukan Pasukan Sri Pahang FC bagi Liga Super Musim 2022/2023 di Sri Pahang FC Lounge di Kuantan pada Selasa.

Pada majlis itu, Mohamed Suffian mewakili Sri Pahang FC, manakala syarikat Hakka Clo Plt diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Soallihin Mohamed.

Turut hadir ialah Pengerusi Sri Pahang FC, Raja Datuk Shaharuddin Shah Raja Jalil Shah.

Sementara itu, Noor Soallihin berkata, beliau teruja untuk membantu Sri Pahang FC menerusi penajaan syarikatnya yang sudah beroperasi dalam perniagaan pembekalan kelengkapan sukan lebih 10 tahun sebelum membuka kilang sendiri pada tahun 2016.

Syarikat itu kini memiliki 50 rakan pengedar di seluruh negara dalam memasarkan produknya seperti baju kasual, jersi, seluar sukan, tudung sukan dan jaket.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai anak kelahiran Jengka, saya pasti mahu melihat pasukan Sri Pahang mendapat kelengkapan terbaik untuk mengharungi Liga Super yang serba mencabar selain bangga dapat bersama-sama pasukan yang mempunyai nama besar dalam liga (Malaysia).

"Dengan jersi keluaran kami, saya berharap ia dapat memacu persembahan dan prestasi, sekali gus menaikkan nama Sri Pahang FC sebagai sebuah pasukan disegani untuk musim 2022 dan 2023," katanya. - Bernama