Tabung Haji perkenal THiJARI Biz

Dari kiri: Pengarah Urusan Kumpulan Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Amrin Awaluddin; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary; dan Pengurus Besar Digitalisasi Perniagaan Menanggung Tugas Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abd Wahab sempena perasmian THiJARI Biz di ibu negara, pada Selasa
Dari kiri: Pengarah Urusan Kumpulan Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Amrin Awaluddin; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary; dan Pengurus Besar Digitalisasi Perniagaan Menanggung Tugas Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abd Wahab sempena perasmian THiJARI Biz di ibu negara, pada Selasa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) terus mengatur strategi dalam usaha membantu memudahkan urusan transaksi pendepositnya dengan memperkenalkan perkhidmatan dalam talian THiJARI Biz khusus untuk memudahkan urusan majikan.

Menerusi inisiatif itu, urusan pemotongan gaji yang dilakukan secara manual sebelum ini akan lebih pantas dan efisyen sekali gus menggalakkan penglibatan lebih ramai pendeposit yang mencarum menggunakan pemotongan gaji setiap bulan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, THiJARI Biz bakal memberi nilai tambah dalam penggunaan teknologi digital bagi pengurusan transaksi di TH.

Justeru, beliau menjangkakan perkhidmatan baharu itu bakal mendapat sambutan menggalakkan khususnya membabitkan kakitangan awam.

"Kita tahu bahawa pendeposit TH hampir sembilan juta dan sebahagian besarnya adalah kakitangan awam, ada kalangan mereka konsisten mencarum di TH melalui potongan gaji.

"Saya jangka THiJARI ini akan mendapat sambutan daripada majikan kerana perkhidmatan dalam talian ini memudahkan mereka untuk mengelola akaun dalam soal pemotongan gaji pekerja untuk tujuan caruman,"katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan THiJARI Biz di sini pada Selasa.

Sebelum ini, urusan potongan gaji dibuat secara manual iaitu butiran dan bayaran caruman diterima daripada pihak majikan sama ada melalui e-mel, surat atau bersemuka di cawangan TH.

Proses pengkreditan potongan gaji dilakukan secara manual dan mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari berbanding hanya satu hari apabila menggunakan THiJARI. Pada masa sama, segala urusan berkaitan butiran dan bayaran potongan gaji akan diuruskan secara kendiri oleh pihak majikan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengurus Besar Digitalisasi Perniagaan Menanggung Kerja Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, ketika ini seramai 4,500 majikan terlibat dalam urusan pemotongan gaji pekerja untuk caruman TH.

Katanya, dengan inisiatif digitalisasi terbaharu TH itu, penglibatan majikan dijangka meningkat sebanyak 20 peratus.

"TH merekodkan sebanyak RM175 juta melibatkan transaksi daripada potongan gaji setiap bulan dan kita mahu ia ditingkatkan lagi kerana proses pemotongan gaji kini menjadi lebih mudah menerusi THiJARI Biz.

"Ketika ini, TH mempunyai sejuta pengguna aplikasi THiJARI dan berharap bilangan pengguna untuk aplikasi itu akan meningkat apabila pekerja dapat membuat semakan transaksi masing-masing di situ. Ini membantu pendeposit menabung bersama TH," katanya.

Maklumat lanjut berkaitan THiJARI Biz atau sebarang perkhidmatan lain yang ditawarkan TH, boleh merujuk di laman web rasmi, www.tabunghaji.gov.my atau hubungi talian THCC di 03-6207 1919.