‘Tidak semua rakyat bersedia kembali bayar komitmen pinjaman’

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM – Tidak semua rakyat telah bersedia untuk kembali membayar komitmen mereka susulan moratorium bayaran balik pinjaman dan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui skim i-Citra bakal berakhir bulan ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ramai berharap agar Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memenuhi permintaan rakyat supaya menyambung skim i-Citra.

“Masih ada belum mendapat pekerjaan yang stabil, yang berniaga juga belum memperoleh keuntungan dan sebagainya.

“Kesan pandemik Covid-19 dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) suam-suam kuku ternyata memberi implikasi ekonomi yang sangat teruk,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menambah, pandemik Covid-19 ini bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi negara tetapi ia turut melibatkan ekonomi rakyat.

“Pasti mengambil masa untuk pulih sepenuhnya. Jika kerajaan baharu sedang berusaha memulihkan kewangannya, begitu juga rakyat kebanyakan.

“Jika ada istilah ‘long covid’ dalam aspek kesihatan, ini pula boleh dianggap sebagai ‘long covid’ dalam aspek ekonomi,” katanya.

Disebabkan itu, beliau berkata, pencarum yang mempunyai simpanan mencukupi wajar dibenarkan untuk mengeluarkan wang mereka sekali lagi.

Artikel Berkaitan:

“Sekurang-kurangnya mereka dapat bertahan sedikit masa lagi dengan harapan keadaan akan bertambah baik selepas itu,” jelasnya.