FAM-Milo mantapkan pembangunan akar umbi

Su Yen (kanan) dan Saifuddin bertukar jersi sempena majlis kerjasama berkenaan pada Selasa. - Foto Milo
Su Yen (kanan) dan Saifuddin bertukar jersi sempena majlis kerjasama berkenaan pada Selasa. - Foto Milo
A
A
A

KERJASAMA antara Milo, dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selama lima tahun mulai 2021 hingga 2026, diharap mampu merealisasikan sasaran untuk melatih 5,000 jurulatih dan 100,000 pemain muda menjelang 2026.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, usaha pembangunan bola sepak khususnya di peringkat akar umbi dilihat sangat kritikal ketika ini biarpun terdapat 122 akademi dengan 10,000 pemain muda berdaftar di bawah Piagam Suparimau di seluruh negara.

Justeru katanya, hubungan kerjasama antara Milo dan FAM diharap mampu menyediakan dorongan serta platform khususnya kepada golongan muda untuk menonjolkan serta mengasah bakat mereka demi pembangunan bola sepak negara.

“Hubungan antara kedua-dua pihak ini (Milo dan FAM) tidak boleh lagi dipisahkan demi kemajuan bola sepak tempatan kerana Milo telah sekian lama menjadi rakan kerjasama bola sepak Malaysia, malah Milo, mengorak langkah ke era baharu hari ini menuju masa hadapan, seperti mana yang dilakukan pada tahun 1990-an dahulu, dengan menyediakan dorongan dan platform kepada golongan muda untuk menonjolkan serta mengasah bakat mereka.”

“Kami ingin merintis masa hadapan untuk anak-anak muda hari ini kerana kami percaya merekalah bintang-bintang masa hadapan. Namun, kejayaan masa hadapan turut bergantung kepada jurulatih yang akan membimbing anak-anak kita ini untuk mencapai potensi terbaik mereka.

“Justeru, kerjasama Milo dan FAM ini akan memastikan latihan bagi membangunkan kedua-dua pemain muda dan jurulatih ini bergerak seiring dengan pembentukan ekosistem yang holistik ini,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Kerjasama Milo dan FAM secara dalam talian pada Selasa.

Pada majlis berkenaan FAM diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Mohd Saifuddin Abu Bakar menandatangani perjanjian kerjasama berkenaan dengan Pegawai Eksekutif Perniagaan-Unit Perniagaan Milo, Nestle (Malaysia) Berhad, Ng Su Yen

Sementara itu, Su Yen berkata, kerjasama ini telah menyemarakkan kembali hubungan antara kedua-dua pihak yang sudah lama terjalin sejak akhir 1980-an dan awal 1990-an lalu.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, menerusi penganjuran pelbagai kejohanan bola sepak akar umbi yang telah melahirkan beberapa pemain legenda negara Milo dan FAM kini mahu melangkah lebih jauh untuk memartabatkan lagi masa hadapan bola sepak tanah air.

“Bola sepak menyerlahkan peranan sukan sebagai guru terbaik yang memupuk kesungguhan, keberanian dan kecekalan yang bukan sahaja dapat memperkasakan daya saing sewaktu bertanding malah membentuk keperibadian individu untuk berjaya dalam hidup.

“Malah, kami sentiasa berusaha untuk menerapkan nilai-nilai murni ini dalam diri juara muda menerusi inisiatif sukan kami selama ini dengan mengalu-alukan FAM kembali ke dalam kerjasama ini, kami meletakkan harapan yang lebih tinggi untuk menginspirasikan yang terbaik dalam generasi juara akan datang, selain bekerjasama untuk mencungkil lebih ramai lagi bakat-bakat baharu dalam persada bola sepak negara,” katanya.