Muhammad Firman ‘pancing’ RM20,000

Husin (belakang, dua dari kiri) dan Muhammad Abdul Hafidz (belakang, kanan) bergambar bersama pemenang pertandingan Pantai Puteri Surfcasting Challenge 2021 yang diadakan di Melaka pada Ahad.
Husin (belakang, dua dari kiri) dan Muhammad Abdul Hafidz (belakang, kanan) bergambar bersama pemenang pertandingan Pantai Puteri Surfcasting Challenge 2021 yang diadakan di Melaka pada Ahad.
A
A
A

MELAKA - Kegigihan seorang pemancing, Muhammad Firman Jais yang mengambil masa selama tiga jam sebelum berjaya menaikkan spesies ikan daun baru seberat 0.75 kilogram (kg) melayakkannya muncul juara dalam Pantai Puteri Surfcasting Challenge 2021 yang diadakan di Pantai Puteri di sini pada Ahad.

Dengan kemenangan itu, Muhammad Firman dari Melaka membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 sekali gus menewaskan 987 peserta lain yang mengambil bahagian di sepanjang 2.5 kilometer pantai berkenaan.

Muhammad Firman berkata, dia bersyukur apabila dilimpahkan rezeki ikan daun baru pada jam 11.20 pagi setelah lebih tiga jam berusaha memancing ikan.

“Setelah lebih tiga jam berusaha, saya semakin gelisah apabila tiada ikan bersaiz besar dinaikkan. Pada ketika itu, saya sudah terbayang peserta lain, Nazri Koris akan membawa pulang hadiah utama apabila dia menaikkan ikan todak pada jam 10.18 pagi.

“Namun usaha demi usaha saya lakukan dengan menukar umpan akhirnya membuahkan hasil apabila ikan daun baru memakan umpan udang yang saya gunakan sekali gus memintas Nazri di tempat pertama,’’ katanya pada Isnin.

Sementara itu, tempat kedua disandang Nazri dari Pahang yang menaikkan ikan todak 0.665kg manakala tempat ketiga dimenangi oleh seorang lagi wakil Melaka, Mohd Hafiz Jalil yang menaikkan ikan daun baru seberat 0.660kg.

Dengan kemenangan itu, Nazri membawa pulang wang tunai RM8,000 manakala Mohd Hafiz menerima RM4,000.

Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Husin Jantan menyampaikan hadiah kepada pemenang. Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka, Muhamad Abdul Hafidz Mohd Amin dan Pengasas Wakjali Event Management, Md Zali Kasran.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Md Zali berkata, pertandingan memancing anjuran Wakjali Event Management itu dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.