Lelaki ditemui mati dengan kesan tikaman

PDRM
PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di paha kanan di sebuah premis di Taman Usahawan Kepong di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 3.57 pagi.

Menurutnya, hasil siasatan polis menemui mangsa berusia 49 tahun dalam keadaan terbaring di atas lantai dan berlumuran darah.

"Mangsa tidak memakai baju, hanya berseluar jeans panjang serta berkasut telah mati di tempat kejadian dan terdapat beberapa kesan tikaman di paha kanan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Eng Lai berkata, hasil siasatan mendapati premis itu telah tutup pada jam 12 tengah malam.

"Mangsa bersama dua rakannya telah minum minuman keras di dalam premis tersebut.

"Hasil rakaman kamera litar tertutup, pada jam 3.04 pagi mangsa telah mengambil sebilah pisau di dalam premis tersebut dan menikam paha kanannya beberapa kali sebelum dia rebah," katanya.

Beliau berkata, terkejut dengan insiden itu, rakan mangsa segera menghubungi 999 untuk meminta bantuan.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa telah dirujuk ke Bahagian Forensik Hospital Kuala lumpur untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian sebenar," katanya.

Katanya, kertas siasatan dibuka sebagai laporan mati mengejut pada ketika ini kerana siasatan awal mendapati ia tidak melibatkan unsur jenayah.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222 atau di Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999," katanya.