Kerajaan pastikan kesucian agama Islam terpelihara

Ahmad Marzuk Shaary
Ahmad Marzuk Shaary
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa berusaha memastikan kesucian agama Islam di negara ini terus terpelihara daripada sebarang anasir yang mencalar kesucian agama Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pihak JAIN secara berterusan melaksanakan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan ke atas kes-kes kesalahan jenayah syariah yang dilaporkan melibatkan ajaran sesat, perjudian dan kesalahan mabuk.

“Sepanjang tahun 2020, sebanyak 33 kes dilaporkan melibatkan kes berkaitan ajaran salah, pemujaan salah, doktrin palsu dan dakwaan palsu.

“Sebanyak 334 kes melibatkan perjudian atau berada di tempat perjudian manakala 86 kes melibatkan minuman yang memabukkan,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) yang bertanyakan apakah komitmen kerajaan untuk memastikan kesucian agama Islam dapat dipelihara darpadai sebarang anasir jahat seperti ajaran sesat, perjudian, mabuk dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, selain penguatkuasaan, kerjasama antara Jakim dan JAIN juga terus diperkukuh bagi memastikan kesucian agama Islam di negara ini terpelihara melalui pelbagai program.

“Contohnya program-program peningkatan penghayatan agama dan pencegahan jenayah syariah berbentuk webinar, forum serta kempen kesedaran jenayah syariah,” jelasnya.

Artikel Berkaitan: