Jangan pandang belakang

Sathianathan
Sathianathan
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya tidak harus terbawa-bawa dengan isu luar padang terutamanya kes jangkitan Covid-19 membabitkan beberapa pemain sehingga menjejaskan prestasi pada saingan Piala Suzuki AFF 2020.

Sebaliknya, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu diminta kekal fokus bagi menghadapi sebarang 'gelora' di bumi Singapura tatkala tiket final edisi kali ini sekali lagi menjadi pertaruhan.

Bekas pengendali Harimau Malaya, B Sathianathan berkata, setiap pemain harus memberikan tumpuan penuh di tengah padang memandangkan tiket ke semi final hampir berada dalam genggaman mereka.

“Sekarang sudah tidak boleh buat apa-apa lagi sebab sudah ada kes (Covid-19) membabitkan pemain negara. Jadi setiap pemain kena yakinkan diri mereka sendiri untuk buat sehabis baik.

“Saya yakin mereka mampu menghadapi ujian sebegini. Ini kerana mereka yang dipanggil mewakili pasukan negara kali ini terdiri daripada pemain yang berkualiti.

“Kita kena 'jalan terus' sebab bola sepak ini adalah sukan berpasukan. Seorang tidak main, ada lagi (pemain) yang ganti. Jadi peluang ini adalah masa terbaik untuk mereka buktikan kemampuan masing-masing,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Minggu lalu, kem Harimau Malaya menerima tamparan hebat sebelum memulakan aksi sulung Kumpulan B menentang Kemboja apabila penjaga gol, Khairulazhan Khalid dan pemain sayap, Faisal Halim didapati positif Covid-19.

Harimau Malaya terus menerima 'tekanan' hebat di luar padang apabila dua lagi pemain - Akhyar Rashid dan Quentin Cheng turut mengalami nasib sama sebelum aksi kedua menentang Laos pada Khamis lalu.

Artikel Berkaitan:

Situasi itu nyata meresahkan Cheng Hoe tatkala beliau hanya membawa 24 pemain bagi menggalas cabaran Harimau Malaya pada Piala Suzuki AFF 2020.

Mengikut peraturan pihak penganjur, setiap pasukan yang bertanding pada edisi kali ini dibenarkan untuk membawa 30 pemain, sekali gus menyebabkan ada pihak yang mula mempertikai 'taktikal awal' Cheng Hoe.

“Ini bukan masa nak cari salah siapa. Saya percaya coach Tan sudah ada perancangannya yang tersendiri apabila beliau menamakan 24 pemain ke Singapura.

“Apa yang penting ketika ini, setiap pemain, jurulatih dan pegawai pasukan sentiasa patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan penganjur.

“Bagi mengelakkan lebih ramai pemain dijangkiti, mereka perlu berdisiplin dan sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling. Kita tidak mahu kehilangan banyak lagi pemain pada perlawanan penting,” ujar Sathianathan.