Cubaan seludup dadah guna kurier gagal

Sebahagian dadah yang cuba diseludup menggunakan syarikat penghantaran barang dirampas. - Foto ihsan PDRM
Sebahagian dadah yang cuba diseludup menggunakan syarikat penghantaran barang dirampas. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

MARANG - Cubaan seorang lelaki dari Kampung Gemuroh Bukit Payong di sini menyeludup pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM23,400 menggunakan sebuah syarikat penghantaran gagal setelah bahan terlarang itu dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, dadah pelbagai jenis yang cuba dihantar lelaki berusia 36 tahun itu dikesan pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang pada Khamis.

Menurutnya, pihaknya menerima aduan daripada syarikat penghantaran barang di Bukit Payong di sini, kira- kira jam 11 pagi yang mengesyaki terdapat tiga bungkusan mengandungi barang terlarang disyaki dadah.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai jenis dadah di dalam setiap bungkusan tersebut sebelum berjaya mengesan alamat pengirimnya.

"Selepas itu, polis menyerbu rumah suspek dan menemui tiga resit bukti penghantaran bungkusan berkenaan serta dadah dalam poket seluar jeans dipakainya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Zain berkata, hasil penahanan suspek, polis merampas 100.25 gram pil yaba, 127.15 gram dadah jenis syabu dan 79.42 gram erimin 5 selain menyita sebuah kereta jenis Honda City warna putih.

"Saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah methamphatemine dan memiliki 14 rekod lampau berkaitan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: