Zuraida mahu penyokong Ali Biju beri sokongan pada calon GPS

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
A
A
A

KOTA SAMARAHAN - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Zuraida Kamaruddin menyeru dan meminta semua penyokong Datuk Ali Biju di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian untuk sama-sama memberi sokongan padu kepada calon GPS, Friday Belik.

Menteri Perusahaan dan Perladangan dan Komoditi itu berkata, selepas berundur daripada pilihan raya berkenaan sebagai calon Bebas, Khamis lalu, Ali Biju sendiri telah meminta penyokongnya membantu Friday menang kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, 18 Disember ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Kluster Koko Sarawak sempena Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia 2021 di sini, pada Ahad.

Selain Friday, kerusi Krian juga ditandingi oleh calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Musa Dinggat dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Kuan Sam Sui.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata beliau bersedia mempertimbangkan sekiranya ada tawaran untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia yand dahulunya dikenali Parti Pekerja Sarawak.

“Saya tak ada terima apa-apa tawaran lagi. (Kalau ada) saya belum tahu lagi, saya akan pertimbangkan, insya-Allah. Kalau tawaran daripada sesiapa pun saya akan pertimbangkan, tak boleh tolak," katanya yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Untuk rekod, pendaftaran Parti Bangsa Malaysia diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 27 Oktober lalu dan bekas Pengerusi PKR Sarawak, Larry Sng kini menjawat jawatan timbalan presiden baru parti itu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Ali Biju berkempen, minta pengundi pilih calon GPS

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:PRN Sarawak: Ali Biju tarik diri, beri laluan kepada calon GPS