Keperluan tutup aurat bukan masalah Hyperrich muncul juara

Pasukan futsal Hyperrich bergambar kenangan selepas berjaya menjuarai kejohanan Futsal Piala Menteri yang diadakan pada Sabtu sempena Bulan Dakwah 2.0 Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Pasukan futsal Hyperrich bergambar kenangan selepas berjaya menjuarai kejohanan Futsal Piala Menteri yang diadakan pada Sabtu sempena Bulan Dakwah 2.0 Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
A
A
A

KEPERLUAN untuk menutup aurat tidak menjadi masalah bagi pasukan Hyperrich yang terdiri daripada individu bukan Islam dalam menyertai kejohanan Futsal Piala Menteri yang diadakan sempena Bulan Dakwah 2.0 Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) pada Sabtu.

Malah pasukan futsal dari Petaling Jaya Selangor itu berjaya menjuarai kejohanan tersebut yang disertai 23 pasukan dari seluruh negara termasuk daripada agensi kerajaan dan institusi tahfiz.

Ketua pasukan Hyperrich, Naavin Krishnan berkata, syarat pertandingan yang dikenakan oleh Yadim itu dilihat sebagai usaha untuk mempromosikan keharmonian antara kaum apabila ia menyelitkan aspek bertolak ansur antara satu sama lain.

"Apabila diberitahu untuk sertai kejohanan ini peserta perlu tutup aurat, kami tiada masalah.

"Kami juga faham peserta Muslim perlu berhenti untuk tunaikan solat. Ini juga kesempatan untuk yang lain berehat. Ia amalan yang baik untuk semua," katanya dalam satu hantaran dikongsikan di Facebook Yadim pada Ahad.

Dalam kejohanan tersebut, Hyperrich telah menewaskan Junior FT dari Gombak, 4-3 pada memperlawankan akhir menerusi penentuan sepakan penalti.

Yadim pada hantaran yang sama turut memaklumkan bahawa selain daripada kejohanan futsal yang merupakan buat julung kalinya diadakan itu, pihaknya turut menganjurkan acara memanah dan boling.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, kejohanan sukan yang diadakan itu merupakan antara inisiatif yang dijalankan oleh agensi tersebut bersempena dengan Aspirasi Keluarga Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Yadim turut memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa menyantuni semua golongan tanpa mengira latar belakang mereka.

“Orang ramai boleh menyumbang kepada Yadim menerusi dua cara mudah. Pertama, layari laman web Yadim dan klik di ruangan ‘Sumbangan Dana’ di halaman utama.

“Seterusnya ikuti panduan yang diberikan, atau hulurkan sumbangan anda ke akaun 5660 1062 5428 (Maybank). Setiap sumbangan layak mendapat potongan cukai,” ujarnya.