Suami isteri maut nahas, dua anak yatim piatu sekelip mata

Nahas membabitkan dua kenderaan menyebabkan pasangan suami isteri maut dalam kejadian itu. Foto: Ihsan pembaca
Nahas membabitkan dua kenderaan menyebabkan pasangan suami isteri maut dalam kejadian itu. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

BAGAN SERAI - Dua beradik menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapa mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 181, Lebuh Raya Utara -Selatan arah selatan di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 3.20 petang itu, anggota tentera, Mohammad Anas Awang, 32, dan isterinya, Siti Hafissah Zamri, 34, maut di tempat kejadian.

Anak mereka lelaki berusia lapan tahun dan perempuan berusia enam tahun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, maklumat diterima daripada orang awam memaklumkan terdapat kemalangan melibatkan melibatkan kereta jenis Mazda RX8 dan Perodua Kancil.

Menurutnya, kemalangan itu berlaku apabila kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas hingga melanggar penghadang jalan di bahagian kiri.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kereta Mazda RX8 yang dinaiki sebuah keluarga dari arah Pulau Pinang menghala ke Taiping dengan memandu di lorong kanan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang jalan sebelum terlanggar Perodua Kancil yang dipandu di lorong kiri," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mazuki berkata, akibat kemalangan itu pemandu kereta telah tercampak ke atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, penumpang hadapan turut disahkan meninggal dunia dalam kenderaan terbabit.

"Dalam kemalangan ini, dua kanak-kanak dan dua wanita yang merupakan pemandu dan penumpang kereta Perodua Kancil berusia 26 dan 65 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Jelas beliau, kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.