Warga emas rentung dalam kebakaran

Anilisida menunjukkan keadaan rumah ayahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Rendang, Pasir Mas pada Sabtu.
Anilisida menunjukkan keadaan rumah ayahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Rendang, Pasir Mas pada Sabtu.
A
A
A

PASIR MAS - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki warga emas rentung dalam kejadian di Kampung Tanjung Rendang, di sini pada Sabtu.

Mangsa, Abdul Manan @ Zakaria Ismail, 71, ditemui maut dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 4 pagi.

Anaknya, Anilisida Abdul Manan, 40, berkata, kejadian tersebut disedarinya selepas mendengar letupan kecil ketika sedang membuat kuih untuk jualan.

"Sejurus mendengar bunyi letupan, saya terus bergegas ke rumah ayah yang terletak bersebelahan.

"Pada waktu itu api sedang marak, saya dan suami serta anak-anak tidak sempat berbuat apa-apa kerana asap tebal," katanya.

Menurut Anilisida, kebakaran tersebut menyebabkan rumah yang didudukinya turut musnah dan dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Ketua Cawangan Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Penguasa Bomba Mohd Farid Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.34 pagi.

Katanya, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas serta Tunjong dikejarkan ke lokasi.

Artikel Berkaitan:

"Api berjaya dikawal pada jam 5.07 pagi dan kita menemui mayat seorang warga emas yang sudah terbakar.

"Punca sebenar kejadian termasuk anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad atas nama Anilisida Abdul Manan bernombor 03054020484875.