Perancangan, hala tuju Mindef bersandarkan dua fokus

Hishammuddin - Foto Bernama
Hishammuddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (Mindef) menyandarkan dua fokus utama sebagai perancangan dan hala tuju kementerian itu tahun hadapan iaitu pelarasan dasar serta pengenalan lapan teras utama di bawah Pelan Tindakan 2022 (PT22).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, fokus pertama ialah dasar di Mindef dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diselaraskan dalam memuktamadkan sesuatu inisiatif.

Beliau berkata, dasar berkenaan termasuk Kertas Putih Pertahanan (KPP), Strategi Ketenteraan Negara, Dimensi Keempat Angkatan Tentera Malaysia (4DMAF), Pelan Strategik Mindef 2021-2025 serta tiga kertas sokongan di bawahnya iaitu Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN), Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) dan Pelan Pelaburan Pertahanan Negara (3PN).

Hishammuddin berkata, fokus kedua dinamakan Pelan Tindakan 2022 (PT22) yang mengandungi lapan teras iaitu kesiagaan dan keupayaan, kompetensi pertahanan, kebajikan, kerjasama awam-tentera, Industri Pertahanan Nasional, kerjasama pertahanan antarabangsa, pemerkasaan veteran ATM dan kesiagaan terhadap krisis berskala besar.

“Teras kelapan tersebut merupakan teras baharu yang diwujudkan bertujuan meningkatan penglibatan ATM dalam membantu usaha negara menangani krisis berskala besar seperti banjir dan ancaman penyakit.

“Teras itu akan berkuat kuasa serta-merta mengambil kira musim tengkujuh yang biasa berlaku pada penghujung tahun,” katanya dalam sidang media pasca-Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari di Wisma Perwira ATM, di sini pada Jumaat.

Hishammuddin berkata, di bawah lapan teras berkenaan, Mindef dan ATM merancang melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk memperkasakan lagi inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement yang dilaksanakan bersama Indonesia dan Filipina sejak 2017 demi memperkukuh kawalan keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi.

"Mindef juga berhasrat menambah Specialist Outreach Clinic di kawasan pedalaman bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapatkan rawatan kesihatan yang terbaik, menyerahkan lebih banyak unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera kepada anggota ATM yang terpilih di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Kaedah sewaan seperti dilaksanakan Tentera Udara Diraja Malaysia untuk memanfaatkan helikopter AW139 turut diperluas kepada Tentera Darat Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia,” katanya.

Hishammuddin berkata, Mindef juga akan berusaha memastikan kadar dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera pada tahap memuaskan.

Menurutnya secara keseluruhan, Mindef dan ATM telah mempunyai perancangan yang jelas untuk bergerak ke hadapan pada 2022 selepas berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat kementerian. - Bernama