Cadang tubuh semula 'Sabah Border Scouts'

Jeffrey ketika ditemui pemberita di Penampang.
Jeffrey ketika ditemui pemberita di Penampang.
A
A
A

PENAMPANG - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mencadangkan supaya Polis Pengakap Sempadan Sabah (Sabah Border Scouts) diwujudkan semula untuk membantu pasukan keselamatan memantau sempadan negeri tersebut.

Beliau berkata, perkara itu pernah dicadangkan sebelum ini kerana mengambil kira rakyat Sabah yang lebih mengetahui mengenai keadaan di negeri itu.

"Pernah cadang sebelum ini dan kami akan teruskan cadangan untuk bersedia sebarang kemungkinan.

"Saya rasa begitu (diwujudkan semula) sebab itu cadang sebelum ini sebagai melengkapkan pasukan keselamatan dan ada kebaikannya, sebab orang kita tahu kita punya tempat (rakyat Sabah)," katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Jumaat.

Beliau mengulas mengenai cadangan penubuhan semula Polis Pengakap Sempadan Sabah susulan laporan berita yang mendakwa 19 ‘datuk bandar’ dari selatan Filipina terlibat dalam plot baharu menyerang Sabah.

Katanya lagi, semua pihak diminta supaya mengambil serius berhubung laporan berkenaan kerana pencerobohan pernah berlaku di Lahad Datu sebelum ini.

"Jadi saya harap jentera keselamatan di sini mengambil serius khabar ini dan mengaktifkan jentera keselamatan kita di laut, darat dan udara.

"Saya sebenarnya baru juga hubungi Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) dan beliau menyatakan supaya tidak perlu risau kerana mereka sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, sebuah akhbar tempatan pada Khamis melaporkan satu mesyuarat bagi membincangkan mengenai rancangan menyerang Sabah dipercayai diadakan di selatan Filipina.

Akhbar itu yang memetik South China Morning Post menyatakan mesyuarat rahsia melibatkan 19 datuk bandar itu diadakan bagi membincangkan mengenai rancangan merekrut 600 individu untuk menyerang negeri itu serta menghantar pengintip.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah menafikan laporan berita mengenai 19 ‘datuk bandar’ dari selatan Filipina didakwa terlibat dalam plot baharu untuk menawan Sabah.