Kastam patahkan cubaan seludup minuman keras, motosikal mini

Rampasan minuman keras dan motosikal mini oleh JKDM Perak dalam serbuan di empat lokasi di Selangor dan Perak bermula 3 Disember lalu. - Foto JKDM Perak
Rampasan minuman keras dan motosikal mini oleh JKDM Perak dalam serbuan di empat lokasi di Selangor dan Perak bermula 3 Disember lalu. - Foto JKDM Perak
A
A
A

IPOH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras dan motosikal mini pelbagai jenama bernilai RM1.4 juta dalam serbuan di empat lokasi, bermula 3 Disember lepas.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Dr Mohamad Saprin berkata, serbuan dilakukan di Pelabuhan Klang, Selangor dan Ipoh, Perak itu berjaya merampas 48,720 tin minuman keras dan 45 unit motosikal import yang disyaki barang larangan kastam.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan pada 3 Disember lalu sekitar jam 1.30 petang di tiga lokasi sekitar Pusing oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Perak Stesen Ipoh membabitkan dua buah rumah dan sebuah rumah kedai.

"Hasil pemeriksaan rapi yang dilakukan di tiga lokasi itu mendapati terdapat 45 unit motosikal import dengan nilai cukai, duti dan harga dianggarkan RM100,000 yang disyaki barang larangan kastam.

"Dalam serbuan itu, kita turut berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil maklumat awam, Kastam Perak melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor sekitar jam 12.30 tengah hari, pada 7 Disember lalu.

Katanya, pemeriksaan itu menjumpai 48,720 tin minuman keras berjenama dengan anggaran nilai cukai RM1.3 juta disyaki barang larangan kastam.

"Kedua-dua kes akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa di bawah peruntukan sama, jika disabit kesalahan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 135(1)(v)(aa).

Artikel Berkaitan:

"Di bawah seksyen ini memperuntukkan denda tidak melebihi 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 mana lebih tinggi dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 mana lebih tinggi atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Mohamad meminta orang awam untuk terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang terlarang seperti rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan bagi membantu jabatan itu memerangi jenayah penyeludupan.

Menurutnya, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran di semua negeri.

"Pihak JKDM memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.