PRN Sarawak: PSB lancar manifesto

Kibaran bendera parti-parti utama di Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dilihat semakin memenuhi sekitar pekan Sibu ketika tinjauan hari ini. Foto Bernama
Kibaran bendera parti-parti utama di Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dilihat semakin memenuhi sekitar pekan Sibu ketika tinjauan hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Manifesto Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 yang dilancarkan pada Khamis memberikan fokus utama kepada tiga aspek iaitu autonomi dan pentadbiran, pembaharuan pendidikan dan pembaharuan sosioekonomi.

Selain itu, kandungan manifesto yang disebarkan kepada orang ramai menerusi pengedaran risalah serta pemakluman menerusi pelbagai platform media dalam pelbagai bahasa itu turut menyentuh mengenai hak wanita, belia, rasuah, budaya dan tradisi serta agama.

Dalam aspek pendidikan, PSB antaranya menawarkan untuk membuat pembaharuan menerusi pemberian biasiswa, pembaharuan dalam pembiayaan pendidikan, menggalakkan multi-lingualisme dan meningkatkan pendidikan tinggi tempatan.

Cadangan turut meliputi peruntukan RM1 bilion bagi menaik taraf semua sekolah termasuk komputer dan peralatan pembelajaran canggih, lengkap dengan sambungan Internet bagi memudahkan e-pembelajaran, manakala dalam aspek sosioekonomi, tumpuan adalah kepada usaha meningkatkan pendapatan negeri dan liberalisasi ekonomi.

PSB juga berhasrat memantapkan hasil negeri secara strategik dengan meningkatkan Rizab Kerajaan Negeri kepada RM100 bilion melalui perancangan dan pengurusan kewangan yang baik, selain meningkatkan hasil minyak dan gas serta pendapatan pesisir melalui kepelbagaian pragmatik aktiviti ekonomi.

Dalam isu belia, parti itu mencadangkan pemberian wang ihsan berjumlah RM10,000 kepada belia Sarawak yang berusia 18 hingga 23 tahun sebagai permulaan untuk mencari kerja. - Bernama


Tiga fokus manifesto PSB 2021


Autonomi dan Pentadbiran

Artikel Berkaitan:

1. Kebebasan Beragama

2. Rakan Kongsi Setara di Malaysia di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

3. Mendapatkan Semula Hak Wilayah Laut

4. Mendapat Semula Hak Minyak dan Gas

5. Kerusi Ahli Parlimen Yang Adil

6. Perwakilan Rakyat Yang Adil di Dewan Undangan Negeri Sarawak

7. Struktur Politik dan Kerajaan Yang Adil

8. Perlindungan Perlembagaan

Pembaharuan Pendidikan

1. Pembaharuan dalam Biasiswa

2. Pembaharuan dalam Autonomi Pengurusan Pendidikan

3. Pembaharuan dalam Pembiayaan Pendidikan

4. Menggalakkan Multi-Lingualisme dan Dijamin dalam Perlembagaan Sarawak

5. Membaiki dan Menaik Taraf Sekolah

6. Penyediaan Asrama yang Baik

7. Meningkatkan Peranan dan Peluang Guru

8. Pendidikan Bahasa Ibunda

9. Meningkatkan Pendidikan Tinggi

Pembaharuan Sosioekonomi

1. Meningkatkan Pendapatan Negeri

2. Keutamaan Ekonomi

3. Liberalisasi Ekonomi

4. Nelayan dan Petani Pekebun Kecil

5. Peruntukan Khas PKS Yang Ditetapkan

6. Pembaharuan Pembangunan