Pahang setuju luaskan kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini

Mohd Sharkar ketika sidang DUN Pahang di Kuantan pada Khamis.
Mohd Sharkar ketika sidang DUN Pahang di Kuantan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang bersetuju untuk meluaskan kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini (TCRB) di Pekan daripada 6,922.96 hektar kepada 9,147,18 hektar bagi pemuliharaan kawasan berkenaan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, sebahagian kawasan baharu TCRB itu juga akan diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK), sekali gus dapat mengelak kegiatan penerokaan hutan di kawasan terbabit.

Menurutnya, kerajaan negeri kini sedang memulihkan kawasan TCRB dengan pelbagai tanaman tutup bumi termasuk pokok di kawasan berhampiran tasik terbabit.

"Kerja pemulihan tanah juga dijalankan bagi mengelakkan sebarang efluen masuk ke dalam tasik.

"Bagi tujuan itu (pemulihan Tasik Chini), kita telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Tindakan Pemulihan Tasik Chini bagi menyelaras semua tindakan pemulihan di kawasan," katanya pada Mesyuarat kedua Penggal keempat Dewan Negeri Pahang (DUN) Ke-14 di Wisma Sri Pahang dekat sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Sharim Md Zain (BN-Chini) mengenai usaha kerajaan negeri dalam pemuliharaan semula kawasan resort Tasik Chini sebagai kawasan pelancongan.

Sementara itu, Mohd Sharkar menjelaskan, beberapa projek pemuliharaan dijalankan bersama agensi kerajaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang serta Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM) di kawasan sekitar TCRB.

Beliau berkata, projek itu membabitkan aktiviti penanaman semula hutan, pembinaan nurseri dan pelepasan ikan bagi penambahan sumber perikanan air tawar, pemulihan tebing Sungai Chini serta pemuliharaan teratai.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak akan membenarkan sebarang bentuk pembangunan selain bagi tujuan penyelidikan di Tasik Chini.

"Malah, kita akan mengekalkan kawasan itu sebagai Taman Hutan Negeri yang juga dikenali sebagai tapak Rizab Biosfera pertama Malaysia di bawah Program `Man and Biosphere' (MAB) Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO)," katanya.

Sementara itu, Mohd Sharkar berkata, pihaknya melalui Tourism Pahang akan terus mempergiatkan promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Tasik Chini.

"Pemuliharaan semula kawasan Resort Tasik Chini sebagai kawasan pelancongan adalah satu usaha yang amat baik bagi menggalakkan kehadiran pelancong ke tasik berkenaan.

"Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sentiasa menyokong usaha usaha kerajaan negeri memulihara semula resort tersebut," kata beliau.