Jabatan Perhutanan Negeri Pahang rekod 68 kes pelbagai kesalahan

Wan Rosdy menjawab pertanyaan Samsiah berhubung pencerobohan hutan di Pahang pada Sidang DUN Pahang pada Khamis.
Wan Rosdy menjawab pertanyaan Samsiah berhubung pencerobohan hutan di Pahang pada Sidang DUN Pahang pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang merekodkan sebanyak 68 kes pelbagai kesalahan melibatkan hutan bermula Januari hingga 15 November tahun ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu sebanyak 51 kes melibatkan pencerobohan hutan, sembilan kes bagi kesalahan transit dan empat kes perlombongan haram dalam hutan simpan.

Menurutnya, seterusnya masing-masing dua kes membabitkan kesalahan kawasan lesen tanah kerajaan dan berkaitan industri berasaskan kayu.

"Kesalahan itu membabitkan kompaun dan ganti rugi yang dianggarkan lebih RM1.7juta.

"Kompaun dan ganti rugi ini telah dikutip oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang sepanjang tempoh 11 bulan tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datin Samsiah Arshad (BN-Bukit Ibam) pada sesi soal jawab Mesyuarat kedua Penggal ke empat Dewan Negeri Pahang (DUN) Ke-14 di Wisma Sri Pahang pada Rabu.

Samsiah sebelum itu ingin mengetahui mengenai tindakan yang diambil penguatkuasaan kerajaan Pahang dan nilai denda yang telah dikenakan terhadap aktiviti pencerobohan hutan, keluasan hutan simpan serta Hutan Simpan Kekal (HSK) di Pahang.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, luas keseluruhan kawasan HSK di Pahang berjumlah 1,597 juta hektar dan kawasan berhutan pula berjumlah 2,039 juta hektar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keluasan yang direkodkan ini berdasarkan pertambahan dan pengurangan HSK dan juga kawasan berhutan tanah kerajaan yang direkodkan di dalam warta kerajaan.

"Terdapat empat pecahan kawasan berhutan iaitu HSK sebanyak 44 peratus dan taman negara pula tujuh peratus, manakala Rizab Hidupan Liar serta Tanah Kerajaan Berhutan masing-masing tiga peratus," katanya.

Menjawab pertanyaan tambahan Andansura Rabu (Pas- Beserah) mengenai jumlah keluasan hutan di Pahang, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang menyasarkan 60 peratus kawasan berhutan di negeri ini bagi memastikan kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata, disebabkan itu pihak kerajaan setiap tahun mewartakan kawasan berhutan bagi meningkatkan jumlah keluasan hutan yang tidak boleh diterokai.