Ali Biju dikompaun langgar SOP PRN Sarawak

Sidang media selepas Demonstrasi Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) bersama Unit Water Cannon Briged Sarawak PGA di sini, pada Rabu.
Sidang media selepas Demonstrasi Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) bersama Unit Water Cannon Briged Sarawak PGA di sini, pada Rabu.
A
A
A

KUCHING - Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa hari penamaan calon pada 6 Disember lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, Ahli Parlimen Saratok itu dikompaun atas kesalahan membawa penyokong ke pusat penamaan calon (PPC) serta tiada penjarakan fizikal semasa hari kejadian.

"Setakat ini, satu kertas siasatan dibuka berkaitan kes pada hari penamaan calon iaitu terdapat satu kompaun dikeluarkan kepada seorang calon Bebas di mana penyokong-penyokong calon tersebut berkumpul dan menunggu sehingga beliau selesai penamaan calon di PPC,” katanya dalam sidang media selepas Demonstrasi Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) bersama Unit Water Cannon Briged Sarawak PGA di sini, pada Rabu.

Kata Aidi, kadar denda yang diperuntukkan bagi kesalahan tersebut adalah sebanyak RM4,000 di bawah Peraturan 10 Akta 342 (Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit).

Tambah beliau, hanya satu kompaun berkaitan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak dikeluarkan setakat Selasa bagi tempoh 6 hingga 7 Disember melibatkan kesalahan pelanggaran SOP PRN Sarawak.

"Bagi jumlah kertas siasatan dibuka yang berkaitan PRN12, terdapat satu kes di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Muktimedia 1988," katanya.

Menurut Aidi, seramai 7,434 kekuatan sumber manusia Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak dijadualkan bertugas semasa hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi pada PRN12.

"Sepanjang tempoh penamaan calon dan tempoh berkempen pula, seramai 5,522 kekuatan akan dikerahkan bagi memastikan proses PRN berjalan lancar.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah tersebut merangkumi bantuan sumber manusia dari luar kontinjen Sarawak iaitu seramai 333 orang pegawai kanan dan pegawai rendah polis daripada Sabah, Bukit Aman dan juga Semenanjung," katanya.

Ali Biju merangkap penyandang kerusi DUN Krian sah bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN Krian apabila tampil pada hari penamaan calon pada 6 Disember lalu.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak bakal menghadapi saingan empat penjuru daripada Musa Dinggat (PSB); Danny Kuan (PBK) dan Friday Belik (GPS).