Ahli Parlimen kemuka usul bahas isu larangan perarakan perayaan

RSN Rayer
RSN Rayer
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen pembangkang RSN Rayer mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat untuk membahaskan isu larangan perarakan kavadi bagi Thaipusam dan Chingay sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun depan.

Usul berkenaan yang dihantar ke Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun itu dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Anggota PH-Jelutong itu berkata, tindakan melarang perarakan perayaan itu telah menerima banyak maklum balas, rintihan, aduan serta ketidakpuasan hati rakyat sekali gus boleh menyebabkan kegusaran dan masalah lain yang boleh menggugat keharmonian dalam negara.

“... (ada) yang bertanya kalau Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh diadakan, PRN Sarawak boleh diteruskan, memandangkan juga 95 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia telah menerima suntikan vaksin, kenapa larangan ini diarahkan oleh kementerian?

“Untuk makluman, kemuncak perayaan Thaipusam dan Chingay adalah perarakan...Kalau tidak ada perarakan, tidak ada sebarang perayaan. Jadi saya mohon untuk perbetulkan perkara itu, merayu supaya perkara itu diberi perhatian sebelum dewan yang mulia ini ditangguhkan.

“... cuma rayuan saya adalah supaya usul saya diterima dan dibahaskan dengan segera,” katanya sebelum sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Dewan Rakyat pada Rabu.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon kemudiannya mengambil maklum mengenai usul itu dan berkata sebarang keputusan akan dimaklumkan.

Pada Selasa, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat berkata semua perarakan perayaan termasuk perarakan kavadi bagi perayaan Thaipusam dan Chingay sempena Tahun Baharu Cina yang akan disambut tahun hadapan adalah tidak dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ia berikutan negara berhadapan jangkitan varian baharu Covid-19 iaitu Omicron pada ketika ini. - Bernama