Kes Bung Moktar: Saksi akui ada percanggahan dalam keterangan

Bung (kiri) dan Zizie
Bung (kiri) dan Zizie
A
A
A
KUALA LUMPUR, - Seorang saksi pendakwaan di dalam kes perbicaraan rasuah melibatkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa bahawa terdapat percanggahan dalam keterangannya mengenai permintaan komisyen sebanyak RM3.5 juta daripada tertuduh.

Ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 43, bersetuju ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How bahawa berlaku percanggahan apabila beliau memberitahu mahkamah tiada permintaan komisen sebanyak RM3.5 juta daripada Bung Moktar di Hotel Intercontinental pada 4 Mei 2015, sedangkan rakaman percakapan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2016 menunjukkan sebaliknya.

“Saya setuju ada percanggahan, namun saya ada beri rakaman percakapan yang lain kepada SPRM pada 4 Februari 2021, dan isi kandungan rakaman percakapan pada 4 Februari itu sama dengan keterangan saya di mahkamah.

“Saya memberi dua versi keterangan kepada SPRM kerana ketika itu saya berada dalam keadaan tertekan. Saya tidak pernah mengalami soal siasat di bangunan SPRM dan hanya memberi keterangan menurut apa yang saya rasa dan ingat ketika itu, sebab itu terdapat banyak keterangan,” katanya.

Kata saksi itu, rakaman percakapan diambil oleh SPRM pada tahun 2016 iaitu 13, 14 dan 25 Julai dan 14 Oktober manakala rakaman terakhir hampir lima tahun selepas itu iaitu pada 4 Februari 2021.

Madhi tidak bersetuju dengan Law bahawa rakaman percakapan pada 4 Februari 2021 adalah rekaan semata-mata dan matlamat untuk menyelamatkan tertuduh.

Suasana kemudiannya menjadi tegang apabila Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria bertalu-talu bertanya soalan kepada saksi itu mengenai percanggahan keterangan berkaitan permintaan wang RM3.5 juta oleh Bung Moktar.

Mohd Sophian berkata, saksi itu tidak diugut atau dipaksa oleh SPRM semasa memberi keterangan tetapi mengapa wujud percanggahan yang sangat material di antara keterangannya di mahkamah dengan empat rakaman percakapan yang diberikan kepada pihak SPRM.

“Selepas empat tahun empat bulan, saya membuat rakaman percakapan terbaharu oleh SPRM. Saya rasa baharu ada kekuatan untuk memberi keterangan yang patut diberi kerana selama empat tahun saya memang mencari kekuatan, saya memang tak boleh nak buat kerja,” jawab Madhi dalam nada sebak.
Artikel Berkaitan:


Mohd Sophian turut meminta saksi itu menjelaskan tindakannya memberikan keterangan berbeza, kerana rakaman percakapan yang beliau berikan kepada SPRM sebelum ini melibatkan masa depan seorang pemimpin politik yang kemudian didakwa di mahkamah.

“Keterangan yang saya beri berdasarkan apa yang diingati dan ingatan yang baik timbul jika berada dalam keadaan tenang,” jawab Madhi.

Hakim Rozina Ayob sebelum itu membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menyoal balas saksi itu kerana menganggapnya sebagai saksi belot berikutan keterangannya di mahkamah pada 26 November lalu bercanggah dengan rakaman percakapan semasa disoal siasat SPRM.

Saksi pendakwaan ke-24 itu juga berkata, wang RM3.5 juta itu diminta Bung Moktar dalam satu pertemuan di Hotel Intercontinental, Jalan Ampang di sini pada 4 Mei 2015 sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan Felcra berhubung pelaburan RM150 juta dalam unit saham itu.

“Apa yang saya faham, wang tersebut adalah balasan kepada Datuk Seri Bung kerana membantu saya dan Norhaili (Ahmad Mokhtar) mendapatkan pelaburan dari Felcra berjumlah RM150 juta dalam Public Mutual,” katanya ketika membaca beberapa kandungan rakaman percakapannya semasa disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2016.

Dalam rakaman percakapan, Madhi yang merupakan saksi utama dalam kes itu berkata, pada 12 Jun 2015, kira-kira pukul 12 tengah hari, beliau dan Norhaili tiba di Public Bank Taman Melawati di sini dan memaklumkan kepada isteri Bung Moktar, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad bahawa pihak bank hanya mempunyai wang tunai sebanyak RM2.2 juta sahaja.

Kata saksi itu, Norhaili kemudiannya memaklumkan kepada Zizie bahawa mereka hanya mampu memberikan wang berjumlah RM2.8 juta sahaja kerana banyak perkara yang mereka perlu bayar dan uruskan termasuk bayaran kepada ejen yang akan memantau akaun Felcra Berhad.

“Zizie meminta Norhaili maklumkan kepada Datuk Seri Bung sendiri kerana wang tersebut diminta oleh Datuk Seri Bung bukan beliau. Norhaili kemudiannya menghubungi Datuk Seri Bung tetapi saya tidak dengar apa yang dibualkan.

“Selepas perbualan telefon tersebut, Norhaili memaklumkan kepada Zizie bahawa Datuk Bung Moktar setuju bayaran yang diminta dikurangkan kepada RM2.8 juta sahaja,” katanya dalam rakaman percakapan itu.

Madhi berkata, beliau dan Norhaili tidak memberi komisen kepada Zizie.

“Wang RM2.8 juta itu bukan bayaran komisen untuk Zizie. Wang 2.8 juta adalah wang yang diminta oleh Datuk Seri Bung, yang saya faham sebagai balasan kepada Datuk Seri Bung kerana telah membantu saya dan Norhaili untuk mendapatkan pelaburan daripada Felcra,” katanya dalam rakaman percakapan itu.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, 63, yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu didakwa menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette, 43, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Perbicaraan di hadapan Rozina bersambung 20 Disember ini. - Bernama