Peningkatan calon PRN bukti demokrasi sihat di Sarawak

Douglas (kiri) dan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat (tiga dari kiri) merakam gambar kenangan selepas mengadakan pertemuan dengan ahli Persatuan Pesara Kerajaan Spaoh di Spaoh, Betong pada Selasa.
Douglas (kiri) dan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat (tiga dari kiri) merakam gambar kenangan selepas mengadakan pertemuan dengan ahli Persatuan Pesara Kerajaan Spaoh di Spaoh, Betong pada Selasa.
A
A
A

BETONG - Peningkatan jumlah calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak pada 18 Disember ini menunjukkan perkembangan demokrasi yang sihat di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, beliau amat mengalu-alukan pencalonan kesemua parti yang akan bertanding pada PRN kali ini.

"Ini akan menjadi sangat menarik. Misalnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong akan menyaksikan pertembungan lapan penjuru bagi merebut kerusi di kawasan itu manakala di DUN Bukit Saban, saya akan berdepan dua orang calon," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama Persatuan Pesara Kerajaan Spaoh di Spoah di sini pada Selasa.

Douglas yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN Bukit Saban berkata, proses pembentukan pemimpin baharu melibatkan golongan muda penting sebagai pendedahan awal dalam kesinambungan sesebuah pentadbiran.

Justeru, beliau berkata, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengambil langkah berani memperkenalkan lapan calon muda pada PRN kali ini.

"Proses membentuk 'darah baharu' sangat penting dan bagi PBB, PRN kali ini masa yang paling sesuai untuk melakukan proses tersebut," katanya.

Tambah Douglas yang juga Timbalan Presiden PBB, untuk mengekalkan parti berkenaan sebagai tulang belakang kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), ahli parti perlu melatih pemimpin-pemimpin baharu demi masa depan negeri dan negara secara keseluruhannya.

"Apabila seorang pemimpin bersara, pasti akan ada orang yang bakal mengisi kekosongan itu sebagai usaha meneruskan perjuangan parti selain menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

"Tambahan pula, dalam setiap era baharu sudah pasti akan melalui perjuangan, isu dan cabaran yang berbeza seiring dengan perubahan masa," ujarnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana membenarkan beberapa kawasan di Sarawak mengadakan ceramah semasa PRN12 termasuk di Bukit Saban.

Jelasnya, meskipun liputan internet di Bukit Saban agak baik, masih terdapat beberapa kawasan yang tidak mempunyai liputan dan menyebabkan kesukaran kepada penduduk di kawasan tersebut.