Tidak boleh bina sebarang struktur di HSK: Loy Sian

Loy Sian
Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada sebarang struktur boleh dibina di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Selangor tanpa mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa negeri (PBN).

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian berkata, ini selaras dengan Seksyen 32, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 (Pindaan 2018).

"Jika terdapat mana-mana orang disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 32 ini, maka boleh didenda tidak melebihi RM100, 000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan tetapi tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya ketika sesi Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 di sini pada Selasa.

Loy Sian berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lee Kee Hiong (DAP-Kuala Kubu Bharu) mengenai tindakan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor tarhadap rumah kediaman yang dibina dalam kawasan HSK.

Dalam pada itu, Loy Sian yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang berkata, beberapa tindakan boleh diambil Jabatan Perhutanan Selangor terhadap rumah kediaman dibina dalam kawasan HSK tanpa kebenaran PBN.

Menurut beliau, pihak terbabit akan dikenakan notis pemberitahuan untuk mengosongkan kawasan HSK dalam tempoh ditetapkan dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya gagal berbuat demikian.

Tambahnya, binaan atau tanaman tanpa kebenaran yang terdapat di dalam kawasan HSK juga akan dimusnahkan seterusnya kawasan berkenaan akan dipulihkan dengan kaedah bersesuaian.

"Seperti pemulihan struktur tanah, membaiki sitem pengairan atau hidrologi, penanaman pokok-pokok hutan dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan: