Kes rogol: Paul Yong diarah bela diri

Paul Yong ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa.
Paul Yong ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong pada Selasa diarah membela diri atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Paul Yong, 51, yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Perak.

Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, terdapat dua elemen berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan daripada keterangan mangsa dan keterangan beberapa saksi lain.

Elemen pertama yang dibuktikan adalah berlakunya kejadian kemasukan kemaluan tertuduh ke dalam kemaluan mangsa dan elemen kedua bahawa hubungan seks itu berlaku tanpa kerelaan mangsa.

Jelasnya, pembelaan-pembelaan dikemukakan tertuduh tidak menjejaskan keterangan-keterangan saksi berkenaan kejadian rogol itu sekali gus tidak melemahkan kes pendakwaan.

"Justeru itu saya mendapati pembelaan-pembelaan yang diketengahkan tertuduh di peringkat kes pendakwaan ini tidak berjaya menggugat atau mencabar kepercayaan saya terhadap keterangan-keterangan dan fakta yang dikemukakan oleh saksi-saksi.

"Keputusan saya bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes frima facie ke atas tertuduh sebagaimana pertuduhan. Oleh itu, tertuduh dipanggil untuk membela diri ke atas pertuduhan tersebut," katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 dan 16 Februari depan untuk prosiding pembelaan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Paul Yong (kiri) ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa.
Paul Yong (kiri) ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi bersama Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin manakala Paul Yong diwakili Peguam Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir.

Rajpal ketika ditemui selepas prosiding berkata, pihaknya menghormati keputusan berkenaan dan akan memanggil empat saksi bagi proses bela diri.

Sementara itu, Koordinator Fungsi Konsuler Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur, Rijal Al Huda memberitahu pemberita bahawa pihaknya berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan berharap mangsa akan mendapat pembelaan sewajarnya.

Sepanjang perbicaraan kes terbabit yang bermula pada 5 April lalu, seramai 23 saksi termasuk dua saksi terlindung telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Pertuduhan ke atas Paul Yong dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Paul Yong didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

Pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.