Percaya pada rezeki, peniaga jual roti canai 50 sen

KUALA TERENGGANU - Dalam keresahan masyarakat memikirkan peningkatan harga barang yang mendadak, seorang peniaga di Chendering, di sini nekad menjual roti canai serendah 50 sen.
Mempercayai kekuatan yang ada pada rezeki, Rohaizan Hassan, 51, mengambil keputusan menjual roti canai murah biarpun menerima kritikan daripada peniaga lain atas tindakannya yang dianggap 'membuang harga' bagi melariskan jualan.
"Ada sebab saya jual roti canai murah. Pertama, saya niatkan atas nama anak saya, Allahyarham Mohd Syafiq Najmuddin yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di kawasan ini ketika menghantar 'pizza' yang dipesan pelanggan pada 2019.
"Kedua, saya mengenangkan nasib orang-orang yang kurang bernasib baik, ada anak ramai tetapi tidak mampu nak berbelanja lebih untuk beri anak-anak makan lebih-lebih lagi dalam tempoh yang sukar ketika ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.