PRN Sarawak: Wong Soon Koh calon tertua

Wong Soon Koh - Foto fail Bernama
Wong Soon Koh - Foto fail Bernama
A
A
A

KUCHING - Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh, 79, menjadi calon tertua bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, manakala yang termuda terdiri daripada dua calon, masing-masing berusia 24 tahun.

Soon Koh, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perniagaan Sarawak yang juga pernah memegang jawatan Menteri Kewangan Kedua Negeri, bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan buat kali ketujuh, bagi mempertahankan kerusi DUN yang menjadi miliknya sejak 1991.

Sementara itu calon PKR bagi DUN Batu Lintang, Cherishe Ng Phuay Hui dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) bagi DUN Nangka, Olivia Lim Wen Sia menjadi calon termuda dalam PRN kali ini.

Selain itu terdapat enam lagi calon berusia 30 tahun ke bawah, dengan empat daripadanya mewakili PBK, iaitu Michelle Ling Shyan Mih (Bawang Assan), Jenny Wong Khing Ling (Semop) dan Chelea Vanessa Anak William (Kemena), masing-masing berumur 25 tahun, manakala Dyanne Oshield Nickson (Lambir) berumur 28 tahun.

Dua lagi ialah calon berumur 26 tahun yang terdiri daripada Brolin Nicholsion Benedict Achung (Bukit Semuja) yang mewakili DAP dan Intanurazean Wan Sapuan Daud (Nangka) daripada PSB.

Selain itu, 37 calon berusia 30 hingga 39 tahun, 50 calon berusia 40 hingga 49 tahun, 113 calon berusia antara 50 dan 59 tahun, manakala 141 calon berusia 60 tahun ke atas.

Proses PRN Sarawak yang bermula hari ini menyaksikan seramai 349 calon layak bertanding. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan: