PRN Sarawak: Dua bekas menteri persekutuan antara 69 calon PSB

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Dua bekas menteri persekutuan merupakan antara 69 calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) diletakkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Mereka adalah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Joseph Entulu Belaun di kerusi DUN Tamin dan bekas Menteri Kerja Raya, Baru Bian akan mempertahankan kerusi DUN Ba’kelalan yang dimenanginya sejak dua penggal lalu iaitu pada PRN 2011 dan 2016.

Selain itu, Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh yang merupakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perniagaan Sarawak merangkap Menteri Kewangan Kedua akan mempertahankan kerusi DUN Bawang Assan yang disandangnya di bawah Barisan Nasional (BN) sejak 1991.

Bekas Menteri Muda Utiliti dan Pertanian Awam Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran akan bertanding di kerusi DUN Marudi, kawasan yang pernah beliau wakili di bawah BN.

Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat pula akan bertanding di DUN Balai Ringin

PSB turut menyenaraikan beberapa bekas ADUN untuk bertanding di kawasan yang pernah mereka wakili iaitu Datuk Ranum Mina di DUN Opar, See Chee How (Batu Lintang) dan Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili).

Bekas Ahli Parlimen Lubuk Antu, Datuk William@Nyallau Badak pula akan bertanding di DUN Batang Air dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Stanley Ajang Batok bertanding di DUN Murum.

SPR menetapkan Isnin sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 14 Disember dan hari pengundian PRN Sarawak pada 18 Disember. -Bernama

Artikel Berkaitan: