Berbakti kepada penduduk luar bandar sebelum bersara: Abang Johari

Abang Johari (kiri) berucap di hadapan penyokongnya di Gedong petang Ahad. Kredit Photo: CMO
Abang Johari (kiri) berucap di hadapan penyokongnya di Gedong petang Ahad. Kredit Photo: CMO
A
A
A

GEDONG - "Setelah 40 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat di Satok, saya mahu berkhidmat di kawasan luar bandar sebelum saya bersara," kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, perpindahan beliau dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok ke DUN Gedong adalah disebabkan keinginan dan hasrat yang tinggi untuk menyumbangkan jasa serta bakti di kawasan luar bandar.

Mengakui turut menerima beberapa pelawaan dari kawasan lain, perpindahan ke DUN Gedong menjadi pilihan Abang Johari untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) kali ini.

“Ada pelawaan daripada kawasan lain tapi akhirnya saya mempertimbangkan untuk berpindah ke Gedong,” katanya ketika berucap di hadapan penyokongnya di Gedong petang Ahad.

Ketibaan beliau di Gedong adalah sebagai persediaan menghadapi hari penamaan calon pada Isnin yang turut ditemani isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang bersama ahli keluarga yang lain.

Sebelum ini, Abang Johari telah mengambil keputusan untuk berpindah dari DUN Satok ke DUN Gedong setelah diberi laluan oleh penyandang DUN Gedong iaitu Datuk Mohd Naroden Majais.

Dalam pada itu, Abang Johari juga mengumumkan daerah kecil Gedong serta daerah kecil Sebuyau kini sudah dinaiktaraf kepada sebuah daerah penuh.

Katanya, keputusan kabinet menaiktaraf beberapa daerah kecil ke daerah penuh termasuk daerah kecil Siburan dan Balai Ringin ke daerah kecil selaras dengan peningkatan pembangunan yang dilaksanakan di kawasan berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: